PRU13:Bendera, Manifesto Mahupun Calon BUKAN Sebab Utama Kemenangan!

Assalamua’laikum.

Khalid al-Walid. Gelaran Saifullah@Pedang Allah. Kisahnya cukup tersohor dalam memimpin tentera Islam dalam menegakkan agama Allah. Boleh dikatakan, setiap kali tentera Islam pimpinan Panglima Khalid al-Walid, hampir pasti kemenangan milik tentera Islam. Begitulah handalnya Khalid al-Walid dalam taktikal perang. Namun, dalam perang Yarmuk menentang tentera Rom pimpinan Panglima Theodore, Panglima Khalid al-Walid dikejutkan dengan satu arahan besar daripada Khalifah Umar al-Khattab. Apakah arahan yang disampaikan kepada Khalid al-Walid dan bagaimana reaksi beliau?

Perang Yarmuk menawan Kota Damsyik oleh Panglima Khalid al-Walid

Perang Yarmuk. Tentera Islam pimpinan Panglima Khalid al-Walid dengan kekuatan tentera seramai 40,000 orang menentang tentera Rom pimpinan Panglima Theodore dengan jumlah tentera 240,000 orang. 40,000 vs 240,000.

kisah perang yarmuk dan kehebatan khalid al-walid

Antara tindakan pertama Khalifah Umar selepas dilantik menggantikan Khalifah Abu Bakar ialah membentuk pasukan bantuan untuk dihantar ke medan Perang Yarmuk. Beliau dengan bersungguh-sungguh menyeru orang ramai untuk mendaftarkan diri. Namun sayangnya, seruan beliau kurang mendapat sambutan orang ramai. Beliau hairan kenapa orang ramai seolah-olah lepas tangan bila diseru berjihad. Bila ditanya kepada orang ramai, inilah jawapannya;

“Khalid al-Walid tu seorang panglima yang gagah perkasa. Dia Pahlawan Pedang Allah yang tak pernah kalah dalam peperangan. Sebab itulah kami tak bimbang, dengan adanya beliau, tentera Islam pasti menang.”

Mendengar jawapan orang ramai, Khalifah Umar menjadi kurang senang. Mereka sudah terlampau taksub serta terlampau mengagungkan Panglima Khalid al-Walid sehingga sanggup mengabaikan seruan jihad. Bagi Khalifah Umar, mereka sudah hilang pertimbangan yang sebenar. Apa pandangan Khalifah Umar?

Bagi Khalifah, kemenangan tentera Islam bukan kerana adanya Panglima Khalid, tetapi kerana kurniaan dan izin Allah.

Khalifah Umar tekad untuk membetulkan tanggapan orang ramai. Dengan serta merta, beliau memecat Khalid al-Walid sebagai pemimpin tentera Islam dan melantik Abu Ubaidah al-Jarah sebagai penggantinya. Orang ramai teramatlah terkejut dan tak bersetuju. Maklumlah, Perang Yarmuk masih lagi sengit.

Panglima Khalid al-Walid yang menerima berita perlucutan jawatannya langsung tidak melatah malahan amat tenang walhal keadaan perang ketika itu cukup genting. Panglima Abu Ubaidah juga menerima perlantikan itu dengan redha dan tidak bermegah dengan jawatan barunya itu.

Malah, Panglima Abu Ubaidah yang baru dilantik memimpin tentera Islam meminta Panglima Khalid meneruskan mengetuai tentera Islam sehingga Perang Yarmuk tamat. Mereka berdua merahsiakan arahan perlantikan baru ini dan berita kematian Khalifah Abu Bakar agar tidak mengganggu tumpuan tentera Islam.

Akhirnya, selepas bertarung hebat dengan tentera Rom, tentera Islam beroleh kemenangan pastinya dengan bantuan dan izin Allah. Khalifah Umar al-Khattab menjelaskan tindakan beliau memecat Panglima Khalid atas sebab berikut;

“Saya melucutkan jawatan Panglima Khalid bukan kerana marah atau sakit hati padanya, tetapi kerana tidak mahu ada yang anggap kemenangan tentera Islam dalam perang kerana adanya Khalid al-Walid. Saya juga hendak memberikan pendedahan kepada panglima perang yang lain.”

Cerita Bendera, Manifesto, Calon PRU 13

Inilah kisah yang wajar kita sama-sama fikirkan, cuba fahami dan hadami bersama. Lebih-lebih lagi dalam kehangatan Pilihan Raya 13 (PRU13)

Wajar kita faham dan yakin bahaya kemenangan mahupun kekalahan seseorang calon/parti adalah kurniaan Allah dan pasti dengan izin Allah. Jika kita sudah membuat keputusan untuk mengundi calon mana dan parti mana sekalipun, jangan sesekali kita lupa pada ketentuan Allah yang Maha Mengetahui. Allah mengurnia kemenangan kepada siapa yang Dia inginkan.Semuanya sudah dalam Ilmu Allah!

Jadi, tak kiralah besar mana bendera yang dipasang, banyak mana bendera yang dipacak, tinggi mana bendera yang dikibar, sehebat manapun calon PRU13, seluas mana iklan dan cerita di TV dan media sosial disiar. Itu semua mungkin hanya sekadar menjadi asbab orang ramai untuk memilih calon/parti yang dirasakan layak.

TETAPI akhirnya jangan kita lupa bahawa HATI kita adalah milik ALLAH jua. Dia yang mampu mengubah HATI kita juga dalam soal memangkah ini.

@hafizmd – PRU13:Bendera, Manifesto Mahupun Calon BUKAN Sebab Utama Kemenangan! Selamat mengundi dan jangan lupa buat solat istikharah untuk memangkah!

Ehsan gambar: Pertempuran Yarmuk

Published by Hafizmd

Artikel ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan juga melalui pembacaan. Sebarang kehilangan, kerosakan dan komen pembaca adalah tanggungjawab anda. Dapatkan bantuan pakar berkaitan jika memerlukan khidmat nasihat yang tepat. Jika entri ini bermanfaat, mohon 'Like, Tweet & G+' kepada rakan anda. Terima kasih dan selamat membaca.