celoteh kakak

Celoteh Kakak #10 Mengantuk

Assalamua’laikum.

Celoteh Kakak #10 Mengantuk. Kakak memang rajin. Balik saja dari Tadika, terus buka buku petak-petak kecil yang Mama beli. Menulis, melukis, mewarna, menconteng dan menghabiskan pen cair dakwat hitam Abah yang Mama hadiahkan. Janji Kakak seronok dan berkreatif, sudah cukup menyenangkan hati Abah dan Mama. Antara rutin kami 4 beranak sebelum tidur ialah membaca hafalan doa harian dan potongan ayat al-Quran secara bersama-sama. Adalah satu malam ni, malam bulan penuh. Ini bukan cerita serigala jadian!

Lokasi: Di atas toto yang sudah kurang empuk.

“Kakak, cuba Kakak baca doa naik kenderaan. Abah tak ingatlah,” Abah sudah mula berbaring di sebelah Kakak sambil menguji daya ingatannya.

“Mana ada nak naik kereta, mana boleh baca..Abah ni kelakarlah,” selamba pulak Kakak jawab.

“Ala, Kakak bacalah..Abah nak dengar ni,” Abah buat-buat tak tahu. ke memang tak tahu? hahahaha

“Oklah. Kakak baca Abah dengar elok-elok,” Kakak menjawab sambil terus membaca doa naik kenderaan bermula dengan lafaz Bismillah, Bismillahillazi La Yadhurru…disambung dengan doa naik kenderaan sampailah habis.

“Memang Kakak pandai. Pandai anak Abah,” puji Abah bersungguh kepada Kakak.

“Kakak, cuba Kakak baca surah al-Ikhlas pulak,” Abah nak dengarlah. Abah cuba memancing Kakak untuk ‘ujian’ berikutnya.

“Ala, tak naklah…Kakak dah nak tidur dah ni,” Kakak dah berpaling ke arah lain.

“Kenapa Kakak tak nak baca? Tadi macam tak ngantuk lagi Abah tengok,” Abah saja mengacah Kakak.

“Tak boleh. Kakak nak tidur dah ni. Cikgu suruh tidur awal, nanti mengantuk dalam kelas…betul,” jelas Kakak panjang lebar.

Abah terus diam. Terus teringat saat Abah dulu-dulu masa muda remaja. Asal nak tidur cepat, ambilkan saja buku Fizik, pasti tanpa paksaan dan halangan, mata akan terus tertutup tanpa arahan.

Abah tengok Kakak. Kakak pun dah tidur dengan jayanya. Memang ada ‘gaya Abah’ juga.

@hafizmd – Celoteh Kakak #10 Mengantuk. Semoga Kakak membesar dengan sihat dan menjadi hambaNYA yang solehah. Ameen.

14 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *