Assalamua’laikum.

Fakta & Petua Penting Tentang Bayi Kekuningan/Jaundis. Antara perkara normal yang dihadapi oleh ibubapa selepas dikurniakan anak ialah kekuningan ataupun jaundis pada bayi. Kekurangan pengetahuan tentang kekuningan pada bayi terutamanya kepada mereka yang baru pertama kali menimang cahayamata sedikit sebanyak akan meresahkan dan memberi seribu persoalan tentang tahap kesihatan anak yang mengalami kekuningan/jaundis. Saya kongsikan beberapa fakta tentang kekuningan pada bayi & 8 panduan menghadapi bayi yang kekuningan.

Apa itu kekuningan/jaundis?

  • Kekuningan ialah proses normal bagi kebanyakkan bayi baru lahir. (Bertenang yer)
  • Kekuningan tak bermakna anak kita sakit. Jaundis bukan satu penyakit.
  • Maksud kekuningan: Istilah perubatan ialah “jaundice” iaitu keadaan kulit dan mata bayi kita menjadi kekuningan.
  • Kekuningan biasanya berlaku kepada bayi selepas 2-3 hari selepas lahir. Biasanya, bacaan kekuningan akan memuncak selepas 4 hari dan akan hilang dalam jangka masa 2 minggu.
  • Cara kesan kekuningan/jaundis pada bayi? Gunakan hujung kuku. Tekan lembut pada kulit bayi. Kita akan dapat kesan warna kekuningan di kulit bayi. Lebih senang untuk dilihat/dikesan di mata putih bayi, sekitar muka hingga dada.

Apa puncanya berlakunya kekuningan?

  • Kekuningan berlaku bila kepekatan bilirubin dalam darah bayi melebihi 5mg/dl.
  • Apa itu bilirubin? Bilirubin terhasil akibat sel-sel darah merah bayi mulai pecah dan terurai secara normal ketika proses kelahiran.
  • Bilirubin biasanya akan diuraikan oleh hati dan dikeluarkan melalui najis berak atau air kencing bayi.
  • Oleh sebab kepekatan bilirubin yang tinggi, itulah yang menyebabkan kulit dan mata bayi kelihatan kekuningan.

Perlukan ibubapa risau jika anak kekuningan/jaundis?

Fakta & Petua Penting Tentang Bayi Kekuningan/Jaundis

  • Jika bacaan kepekatan bilirubin dalam darah bayi masih rendah dan terkawal, usah risau.
  • Jika bayi masih lagi menyusu dengan baik, membuang air besar dan warna air kencingnya masih jernih. Alhamdulillah. Usah terlampau gundah gulana.
  • Yang penting, pantau keadaan bayi dan tahap kekuningan kulit dan mata bayi.
  • Jika bacaan kepekatan bilirubin bayi melebihi 16mg/dl selama 24 jam, penyusuan susu ibu harus dihentikan (sebab itu penting untuk memantau keadaan bayi).

8 Panduan Merawat Kekuningan/Jaundis Pada Bayi

  1. Susukan bayi secepat mungkin selepas kelahiran dan sekerap boleh. Kolostrum dalam susu ibu bertindak sebagai laksatif yang akan menggalakkan pergerakan usus dan proses penyingkiran bilirubin melalui najis bayi.
  2. Belajar cara menyusu bayi dengan betul. Ini penting untuk membolehkan bayi mendapat bekalan susu yang cukup. Bertanyalah kepada jururawat tentang teknik penyusuan bayi yang efektif.
  3. Elakkan memberi air kepada bayi. Diketahui petua nenek moyang kita memberi air masak kepada bayi yang kekuningan. Faktanya ialah hanya 2% bilirubin dikeluarkan melalui air kencing. Dikhuatiri bayi yang minum air masak akan menyebabkan perut bayi sudah dipenuhi oleh air lalu mengurangkan kadar penyusuan susu ibunya. Ingat point no 1 & no 2.
  4. Elakkan memberi air glukosa. Didapati air glukosa boleh menyebabkan kembung perut dan bayi sukar buang air besar. Bayi perlu berak buang lebihan bilirubin. Ingat yer.
  5. Rawatan fototerapi. Kulit bayi akan didedahkan dengan lampu biru untuk memecahkan bilirubin. Doktor pasti akan memberikan rawatan ini bila perlu.
  6. Biasanya bayi kekuningan cepat mengantuk dan selalunya mudah mengantuk lalu tertidur. Jadi, pastikan kekerapan penyusuan susu ibu setiap 2 jam.
  7. Jika bayi kerap tidur, pastikan anda terus merangsang penghasilan susu dengan mengepam dan simpan bekalan susu ibu untuk bayi nanti. Boleh suapkan susu ibu menggunakan picagari ataupun sudu jika perlu.
  8. Berhati-hati dengan sebarang ubatan yang si ibu ambil. Mungkin boleh mempengaruhi paras biliribun bayi. Minta kepastian doktor jika perlu.

Makluman. Entri ini ditulis berdasarkan pemahaman pembacaan di beberapa majalah kesihatan dan rujukan saya di laman Dr. Zubaidi. Boleh terus ke laman beliau untuk maklumat lanjut;

  • Bolehkan Susu Ibu Sebabkan Kekuningan Pada Bayi
  • Kekuningan Pada Bayi. Normal atau Bahaya?

Pasti ada ibubapa yang mempunyai pelbagai petua untuk merawat kekuningan/jaundis pada bayi masing-masing. Seperti saya sendiri, serbuk mutiara diberi sebagai alternatif untuk mengurangkan kekuningan. Alhamdulillah, nampaknya berkesan.

Apa yang penting ialah ibubapa haruslah melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang kekuningan supaya tidak mudah panik dan resah. Keputusan tanpa panik inshaaAllah memberikan impak yang lebih baik.

@hafizmd – Fakta & Petua Penting Tentang Bayi Kekuningan/Jaundis. Apa yang ditulis hanyalah untuk menambah ilmu kepada ibubapa. Ianya tidak boleh dijadikan sebagai panduan muktamad dalam apa jua tindakan anda. Dapatkan panduan dan pandangan doktor. Semoga anak-anak kita sihat, cergas dan cerdas!

Published by Hafizmd

Artikel ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan juga melalui pembacaan. Sebarang kehilangan, kerosakan dan komen pembaca adalah tanggungjawab anda. Dapatkan bantuan pakar berkaitan jika memerlukan khidmat nasihat yang tepat. Jika entri ini bermanfaat, mohon 'Like, Tweet & G+' kepada rakan anda. Terima kasih dan selamat membaca.