Oh! Bila Hantar Anak ke Nurseri/Pengasuh…

cara petua pilih taska untuk anak

Assalamua’laikum.

Tak sanggup tengok video seorang pengasuh yang bantai anak orang. Kejam, zalim dan berhati binatang. Saya yakin, mana-mana ibubapa yang tertengok pasti rasa geram dan kesal serta resah. Resah juga, sebab kita pun hantar anak-anak ke pengasuh/nurseri. Semuanya kita serahkan pada Allah untuk melindungi anak-anak kita. Sungguh, tinggalkan anak di rumah pengasuh/nurseri antara keputusan berat yang harus dibuat!

Tips Pilih Pengasuh/Pusat Jagaan Anak?

Dua anak kami, dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak/nurseri seawal usia 3 bulan rasanya. Iyalah, isteri pun bekerja. Risau, perit dan macam-macam perasaan masa hantar anak ke nurseri. Isteri lagilah. Tak dapat nak gambar dengan kata-kata. Mesti ibu-ibu terutamanya dan bapa-bapa faham sangat perasaan ni, kan?

FASA 1: Antara perkara pertama yang kami berdua periksa SEBELUM hantar anak ke nurseri ialah;

  1. Nurseri tu berdaftar dengan JKM atau tak. Boleh periksa senarai di laman JKM (klik imej di bawah untuk periksa senarai pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan JKM).cara tips pilih pusat jagaan kanak-kanak berdaftar JKM
  2. Sesi bertanya. Saya cuba Google dan kalau ada ibubapa yang hantar anak ke nurseri tu, mintak pandangan mereka. Ok ke tak anak-anak mereka di nurseri tu.
  3. Perhati juga struktur nurseri tu. Ok ke tak dari segi keselamatan luaran. Sekali tengok, kalau nurseri yang bagus kita dah rasa macam puas hati.
  4. Buat ‘intipan’ harian. Biasanya waktu bagus nak tengok waktu pagi (masa mak ayah hantar anak) dan waktu petang (masa ambil anak-anak). Kenapa waktu ni? Kita boleh tengok macam mana pekerja nurseri deal dengan anak-anak dan mak ayah budak tu. Bolehlah tengok, ada skill tak pekerja ni nak ambil hati anak-anak yang dihantar ke nurseri tu.
  5. Perhati tingkah laku anak-anak. Ini sangat penting. Masa buat “intipan” tu, perhatikanlah gelagat anak-anak yang dihantar ke situ. Muka takut ke, menangis melampau ke. Kalau rajin, tanya mak ayah tu. Kot-kotlah, memang anak dia jenis suka melalak pergi nurseri. Sebabnya hanya 1, anak-anak tak reti nak MENIPU. Kalau anak tak suka, memang payah nak ngam dengan pekerja. Ini berdasarkan pengalaman kami sendiri. Setuju tak?
  6. Kalau rasa macam ok, catat nombor telefon, terus telefon dan cakaplah nak datang tengok nurseri tu. Jangan cakap pukul berapa nak datang, terjah jer. Baru dapat tengok situasi sebenar nurseri tu. Penting yang ni. Take note yer….

FASA 2: Lawatan pertama ke nurseri. Nak buat apa yer?

  1. Perhati keadaan sekeliling. Tengoklah apa yang patut. Contohnya, pintu pagar nurseri sentiasa berkunci atau tak. Maklumlah, sekarang ni pantang pintu pagar tak kunci, ada yang ‘berminat’ nak masuk. Ada loceng ke tak. Sebab biasanya, pemilik nurseri yang bagus, memang pentingkan benda-benda ni untuk keselamatan anak-anak kita.
  2. Dah masuk nurseri. Tengoklah apa yang ada dalam nurseri. Ada mainan tak untuk anak-anak. Ada TV untuk pembelajaran atau tak. Ada jadual ‘pembelajaran ringan’ dan jadual harian anak-anak atau tak. Kalau ada, bagus. Silalah bertanya apa yang patut. Kalau takde, tanyalah pulak…apa aktiviti untuk anak-anak. Bukan sepanjang hari (kitapun faham, bukan sekolah, tapi paling tak ada diselitkan aktiviti yang menjana minda anak-anak).tips pilih nurseri taska untuk anak
  3. Mintak izin tengok tempat tidur dan tempat mandi anak-anak. Masa ni, bolehlah tengok toto tahun bila yang pemilik tu guna untuk anak kita tidur. Kalau nampak macam teruk sangat, lupakanlah. Sebab, nanti banyak pulak penyakit berjangkit. Bahaya wooo…
  4. Kalau anak dah setahun dua, cubalah mintak pekerja nurseri untuk cuba layan anak kita sekejap. Tengok, ok ke tak. Macam ada chemistry ke tak.
  5. Lupa satu perkara yang amat penting. Kami biasanya akan tengok pekerja nurseri tu dulu. Pakaiannya ok atau tak. Kalau pakai seluar pendek, baju seksi. Memang terus reject!
  6. Kalau semua ok, bolehlah bersiap mental dan fizikal untuk hantar anak ke nurseri.

FASA 3: Pantau gelagat anak setiap kali dihantar dan diambil dari nurseri.

  1. Seminggu dua, anak-anak memang biasanya akan buat perangai sikit. Tak nak ke nurseri. Sabarlah yer.
  2. Penting untuk tengok gelagat anak bila diambil oleh pekerja nurseri. Biasanya, akan ada salah sorang pekerja yang memang baik dan ngam dengan anak kita. Biasanyalah.
  3. Kalau anak dah pandai bercakap, perhatikan butir percakapannya. Takut-takut, ada perkataan yang kurang elok dituturkan anak-anak. Kalau ada, tanya siapa yang cakap macam tu. Kena pantau baik-baik.
  4. Perhatikan juga gelagat anak masa kita ambil di waktu petang. Nampak muka ceria atau takut. Kalau tiap-tiap hari muka anak tak ceria, mungkin ada sesuatu yang tak kena. Bertanyalah dulu elok-elok kepada pekerja nurseri tu. Jangan kita main teka-teka.
  5. Periksa kesihatan luaran anak. Tengok seimbas lalu, kot-kot ada kesan lebam yang ketara. Kalau ada, terus tanya, jangan simpan nak tanya esok.
  6. Kalau anak masih pakai pampers, periksa tengok. Kot-kot anak berak, tapi tak dibersihkan. Banyak kali juga terjadi pada anak kedua kami. Tegur pekerja, tapi berulang juga. Kesian anak, ada masa naik ruam. Pedih masa mandi nanti. Kita jugak yang geram, kan?
  7. Kalau anak dah pandai cakap. Tanyalah buat apa kat nurseri. Ada main warna-warna atau tak. Atau tengok tv sepanjang hari? Jangan terkejut, ada pekerja yang pasang filem-filem samseng dan gaduh-gaduh untuk tontonan anak-anak kita. Ini yang anak saya cerita. Adeh!
  8. Kalau ada rasa sangsi, boleh pasang kamera pada beg anak. Macam kes dera anak yang masih panas lagi tu. Kita mesti sentiasa ada perasaan berhati-hati.

Itulah saja tips bila nak hantar anak-anak ke taska/nurseri atau pengasuh. Maaflah, berjela-jela panjang. Biasalah, bab anak-anak ni, berkajang tulis pun takde masalah….hehehe

Saya sekadar berkongsi pengalaman cetek kami suami isteri. Mula dan akhirnya kenalah berdoa kepada Allah, moga diberi keselamatan dan kebaikan untuk anak-anak. Deria ke-6 seorang ibu amat-amat diperlukan saat sebegini. Gerak rasa hati seorang ibu untuk anak, biasanya insyaAllah, amat bagus.

Kalau ada yang tersilap, maafkan saya. Kalau ada nak tambah. Silakanlah.

@hafizmd – Anak kedua, dah dihantar ke pengasuh baru. Moga-moga dia ok, suka dan sihat di rumah pengasuh baru.