Ibu Tersalah Makan, Bayi Sakit Perut?

sebab bayi kembung sakit perut susah tidur malam

Assalamua’laikum.

Semua antara kita pernah disusukan oleh seorang insan mulia yang kita panggil Ibu. Anda yang sudah bergelar Ibu, Mama, Ummi dan apa jua panggilan sekalipun, pastinya pengalaman menyusu sendiri anak adalah saat terindah dalam hidup anda. Betul tak? Susu terbaik pastinya susu ibu. Bukan susu cap lain. Susu terbaik juga, pastinya terhasil daripada pemakanan si ibu sendiri. 

Bayi susah tidur malam?

Bila baby susah nak tidur malam, kita mak ayah ni mulalah runsing. Nak-nak si maknya (bapa biasanya tertidur lena, konon penat agaknya…hohoho). Susu badan sudah diberi, bukan sekali dua malah mungkin hampir setiap jam, tetapi si kecil tetap juga merengek. Nak diberi susu lagi, takut termuntah. Untung bagi tinggal sekali dengan ibuayah kat kampung, ada juga boleh tolong tengokkan mana yang boleh.

Pengalaman saya dulu masa anak pertama, memang agak kalut jugalah. Ada masanya mati akal, tak tahu nak buat apa bila baby merengek. Minyak telon sudahnya. Cumanya, kami tahu bayi tetap bayi. Baby hanya pandai menangis dan tidur. Kenyang dan perut ok, lenalah tidurnya. Kenyang tapi sakit perut, menangislah dan susahlah nak tidur. Dengar macam mudahkan? Tapi inilah pengalaman yang bakal dilalui oleh setiap pasangan yang dikurniakan cahaya mata. Tak boleh nak lari dah. Itu sebab mak-mak ni, saya suka panggil Supermak!

Dah masuk anak dua orang (baru 2 orang), barulah tahu serba sikit kenapa bayi ni ada masanya susah nak tidur. Antaranya ialah kerana bayi sakit perut/kembung perut. Ada juga baca status baby orang lain, demam silih berganti. Ada pulak datang kembung perut dan ruam-ruam kat kulit baby. Mungkin juga ada kaitan dengan cara pemakanan si ibu yang menyusukan bayi tadi. Betul ke? Saya rasa betul sebab apa yang si ibu makan dan minum, akan turut ‘dimakan dan diminum’ oleh baby kita. Jadi, seorang ibu sepatutnya perlulah sentiasa berjaga-jaga dalam soal pemakanan dalam tempoh menyusukan bayi. Ada ibu yang tak kisah, main bedal segala makanan. Tak salah, tapi biarlah sederhana.

Bila malam, si bayi pun mulalah merengek-rengek. Dimarahlah pula si anak kecil tadi yang langsung tak bersalah dan tak tahu apa-apa. Bukannya si anak kecil tadi yang bedal lemang 3 batang. Bukannya si kecil yang menogok air coca-cola setengah botol di siang hari dan pastinya bukan si bayi tadi juga yang merembat 2 pinggan nasi lemak untuk sarapan pagi. Habis tu, kenapa dimarahnya si bayi? (Okay, boleh marah si bapa sebab tak halang si ibu…yeay!)

Ketahuilah wahai para ibu yang terbaik, ada beberapa makanan yang kurang sesuai untuk anda yang sedang menyusukan bayi. Tak banyak, hanya beberapa. Menjadi seorang ibu, perlukan banyak pengorbanan, kan? Kalau tak, takkan ada bidalan “Syurga di bawah telapak kaki ibu.”

Antara makanan yang kurang sesuai untuk dimakan/diminum oleh ibu semasa tempoh menyusukan bayi ialah;

1. Seafood yang tinggi kandungan merkurinya. Contohnya ikan tenggiri. Ikan tenggiri masak lemak cili api. Fuh! Memang sedap tapi kenalah juga beringat masa makan. Jangan terlebih. Cukup sekadar rasa. Kalau tak, boleh sakit perut bayi nanti. Siapa yang tak boleh tidur? Mama jugakan? Nak juga makan makanan laut lain? Boleh. Makanlah seafood yang rendah kandungan merkurinya seperti udang dan ikan air tawar. Patutlah, ibu dalam pantang disuruh makan ikan haruan. Nak elak bayi dari sakit perut rupanya! Hebat tok nenek kita, kan?

2. Makanan yang boleh beri alahan. Biasanya, alahan kulit boleh diwarisi kepada anak-anak kita. Contohnya, jika seorang ibu yang menyusu, kulitnya cepat rasa ‘gatal’ selepas makan ikan tongkol (nama lain:ikan kayu/ikan aya), maka elakkanlah makan ikan tongkol. Kalau tak boleh makan seafood, janganlah makan. Nanti si bayi pula yang ruam-ruam dan merengek tak selesa.

3. Minuman berkafein. Antara yang paling sedap ialah teh tarik dan teh ais. Tak nak si bayi anda terganggu tidurnya, elakkan minum minuman berkafein ni. Jangan lupa minum susu. Yang ni bagus.

Ini antara beberapa makanan/minuman yang seorang ibu terpaksa berkorban demi si bayi tersayang. Paling lama 2 tahun.

“Tiada manusia lain yang mampu berkorban sehebat ini, melainkan seseorang yang kita panggil Ibu, Mama, Ummi, Amma”

Alhamdulillah. Isteri saya juga cukup menjaga pantang larang pemakanan semasa dia menyusu badan untuk 2 orang cahaya mata kami. Alhamdulillah, masa tu, memang baby senang nak tidur. Ada masanya tidur jer sepanjang malam. Bolehlah si Abahnya ini tidur lena sepanjang malam…hohoho…Terima kasih yer Mama.

Tahniah kepada para ibu yang komited dan bersungguh-sungguh dalam menyusukan bayi. Anda memang terbaik! Kalau bayi kembung perut, apa yang anda buat?

@hafizmd – Ibu tersalah makan, bayi yang sakit perut. Terima kasih khas untuk Ma yang menyusukan ambe masa kecik dulu. Sayang Ma!

Sumber rujukan asal: Blog Dr.Zubaidi