Celoteh Kakak #11 Nak Abang?

celoteh kakak

Assalamua’laikum.

Celoteh Kakak #11 Nak Abang? Musim cuti sekolah. Rutin harian dua beradik ni, tak lain tak bukan ialah bermain sepanjang hari tanpa rasa penat. Kami yang tengok pula rasa letih. Biasalah adik-beradik, main kejap, gaduh…main kejap gaduh. Sampailah semalam Kakak ada tanya ala-ala ‘permintaan pelik’. Begini ceritanya

Minda aktif anak

“Abah, Kakak nak abanglah,” tiba-tiba jer Kakak cakap masa Abah dengan bergayanya menekan pedal minyak kereta Lambongini kaler kelabu.

“Pasal apa pulak nak abang?” Abah tanya balik.

“Iyalah. Adik Hariz ni. Asyik nak gaduh dengan Kakak jer,” Kakak macam mengadu.

“Ooooo…..biasalah. Adik-beradik memang macam tu. Kakak, Adik main elok-elok. Kena kongsi mainan sama-sama,” Abah cakap ala-ala seorang pakar keluarga.

“Mama…Mama mengandunglah. Nanti keluar abang, boleh?” Kakak sekali lagi cuba memanaskan bangku pemandu kedua iaitu Mamanya.

“Macam mana nak keluar abang pulak. Kalau keluar, baby tu jadi adik Kakak juga,” Mama bermadah tanpa helah dengan harapan Kakak faham.

“Alaaaa….Kakak nak abang,” Kakak semacam buat ayat provokasi pula.

“Kalau gitu, Abah kena cari mama lain yang ada abanglah,” perlahan tapi mendalam sambil Abahnya perasan ada jelingan tajam dari tempat duduk sebelah.

Abahnya semacam nak senyum. Misai nipisnya seakan bergerak ke kanan ke kiri, tapi ditahan jua sambil kaki terus menekan lebih kuat pedal minyak Lambongini kelabunya.

“Aiiiiii…..senyum nampak,” ayat terakhir Mama di petang yang damai.

-Tamat-

@hafizmd- Celoteh Kakak #11 Nak Abang? Celoteh anak-beranak mampu erat kasih sayang. Setuju tak?