Celoteh Kakak #8 Ayam?

Assalamua’laikum.
Pagi yang indah dan sungguh nyaman. Abah memandu seperti biasa. Tak terlalu laju, tak terlalu perlahan. Sedang-sedang saja. Kakak nampak ceria. Seminggu di pra-sekolah barunya, berlalu aman dan ceria tanpa sebarang penolakan. “Abah, sekolah baru ni bestlah…” Kakak tiba-tiba bersuara, memecah alunan nasyid Fitri UNIC. “Sekolah Kakak yang lama tak best ke?” Abah saja bertanya menguji Kakak.

“Best jugak, tapi Ibu ngan Kakak Zie garang….” Kakak menjawab sambil nampak kepalanya mendongak-dongak keluar. “Kakak nak sekolah kat sini lama-lamalah…” Kakak terus menyambung lagi tanpa ditanya. “Ok. Boleh. Kakak, mana satu lorong nak masuk sekolah Kakak ni?” Abah sekali lagi bertanya mahu melihat kecekapan memori Kakak.

“Aaaa…nanti Abah masuk kat tempat ada bumbung macam rumah tuh….” laju Kakak menjawab sambil memegang hujung tudung putihnya.

“Kakak, bumbung yang ni ke?” Abah menyoal lagi.

“Bukan-bukan…tu yang kat depan tu…” Kakak menjuih bibir comelnya sambil jari menunjuk ke depan bersungguh.

“Ooo…yang ni ek. Kakak memang pandailah bab ingat jalan. Macam Mama…” Abah membalas sambil memuji kecekapan Mama dalam mengingati setiap simpang jalan. Nampak sangat DNA “GPS” Mama berjaya diturunkan kepada Kakak dengan berjaya.

“Haaa…Abah masuk kat tempat ada ayam perempuan tu tau….” Kakak sekali lagi memberi arahan pandu arah ke sekolahnya.

“Ayam perempuan? Mana Kakak tau ayam tu ayam perempuan?” Mama yang sedari tadi menjadi pemerhati, kini galak bertanya Kakak.

“Ala Mama ni. Ayam perempuanlah tu. Ayam tu pakai lipstik….” Kakak selamba menjawab penuh yakin.

Kami terdiam dan tak sampai 5 saat, kami tergelak terbayang ayam pakai lipstik! Kakak memang macam-macam ceritanya.

@hafizmd – Boleh terus membaca celoteh Kakak tentang Kahwin | Angsa | Sejuk