Abah..kami sayang abah

Amaran: Entri ini sedikit panjang dan mungkin mengambil masa kawan-kawan semua.

Tempat kami sekeluarga bersantai

Sudah hampir 5 bulan rasanya, kaki kiri abah bengkak. Dari paras lutut sampai ke tapak kaki. Sepanjang masa itulah, Abah menggagahkan jua kudrat tuanya, bergerak ke sini dan ke sana. Walaupun Abah sudah lama bersara dari hiruk pikuk pejabat, ilmu yang dikandung didada dan rasa amanah yang dipikul dibahu membuatkan Abah terus bersemangat dan tabah menghayun kudrat walaupun saat kaki dan kesihatan badannya seolah menuntut untuk berehat seketika.

Masih lagi jelas terpampang dibenak ini, senyuman ceria Abah semasa majlis doa selamat hari lahir Abah  yang lalu. Rona suara Abah yang sentiasa ceria membangkitkan suasana riang gembira memang cukup sebati di hati ini. Namun, sedikit demi sedikit, kecederaan lutut Abah akibat tergelincir di bilik air semakin membimbangkan apatah lagi dtambah dengan masalah jantung Abah. Hari demi hari, bulan bersilih ganti, senyuman Abah kelihatan seakan tawar, suara ceria makin sedikit menjauhi diri Abah yang sudah menjengah lebih setengah abad usianya.

Abah sedaya upaya menyembunyikan gelodak sakit di jiwa. Barangkali tidak mahu Mama dan kami susah hati. Namun hati mana yang mampu bertahan, bila mengenangkan Abah yang sudah seminggu tidak mampu melelapkan mata walaupun sepicing. Selera makan juga tidak menentu. Batang tubuh Abah yang dulunya berisi semakin susut menahan asakan dan dugaan ini.Sungguh, abah sungguh tabah.

Dikejauhan, aku hanya mampu bertanya khabar dan berdoa. Namun, hati ini makin meronta bila malam tiba mengenangkan Abah yang tidak mampu melelapkan mata sedangkan aku lena beradu. Sehinggalah di satu pagi, aku mendapat panggilan dari abangku di kampung. “Apis, abah tak berapa sihat sangat dah ni, baliklah yer..” Suaranya kedengaran tersekat-sekat dan basah dihujung talian. Aku terkedu di birai katil. Terus terbayang wajah abah. Abah, Abah mesti tabah.

Jam menunjukkan jam 5.20 pagi. Tiada apa dalam fikiranku selain untuk segera sampai dan berada disisi Abah. Perjalanan hampir 7 jam, aku rasakan cukup lama. Perjalanan kami sekeluarga yang biasanya dihiasi gelak tawa isteri dan anak, kali ini sunyi dan sepi. Seusai tiba di rumah, abah diberanda rumah, terbaring lemah. Melihat kami pulang, abah bingkas bangun melempar senyuman, bersalaman dan berpelukan. Sungguh, tubuh abah terasa banyak benar susutnya. Aku bersyukur, masih mampu memeluk Abah yang tersenyum sambil Abah bersuara “kesian anak-anak abah, baru balik minggu lepas, minggu ni kena balik lagi”. Tak mengapa, kamikan anak Abah.

Abah tampak seakan sudah pulih, tapi kakinya masih lagi bengkak berminyak. Malamnya, abah sudah mampu untuk melelapkan mata tapi hanya seketika. Tengah malam, aku menjenguk abah. Abah tiada di pembaringan. Mata galak melilau dan ternampak kelibat abah di kerusi. Agaknya, penyakit jantung abah datang lagi. Abah berasa sedikit sukar untuk bernafas. Aku adik-beradik mengurut belakang abah seperti kebiasaan. Alhamdulillah, Abah mampu lelap seketika bila mana pagi menjengah tiba.

Malam berikutnya, sesak nafas Abah datang lagi. Pernafasan Abah lebih tidak teratur berbanding malam-malam sebelumnya. Urutan juga sudah tidak menjadi. Kami pujuk Abah untuk ke hospital walaupun sudah berkali-kali juga Abah menolak sebelumnya. Akhirnya, 4.30 pagi, Abah sudahpun di wad ICU di HSNZ. Pergelangan tangan abah dicucuk, membolehkan ubat disalur masuk terus ke arteri darah Abah. Hidung Abah dibekalkan oksigen. Hati ini, hanya Allah yang tahu. Ya Allah, kurniakanlah RahmatMU.

Abah terpaksa ditahan di wad untuk pemantauan. Malam pertama, aku menawarkan diri untuk menemani Abah di hospital. Melihat Abah yang mampu lena di katil, membuatkan aku cukup sayu dan bersyukur. Aku nampak hikmahnya Ya Allah. Selama tiga hari Abah ‘berehat’ di hospital. Selama itu jugalah, kami silih berganti menemani Abah. Terbayang jua betapa besarnya pengorbanan Abah sewaktu kecil menjaga kami. Sungguh bagai dikata, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban nyawa.

Alhamdulillah, pernafasan abah semakin teratur dan baik. Kaki Abah juga sudah surut bengkaknya. Selera makan kembali mengisi perut Abah. Abah cukup ceria dan seakan pulih seperti sediakala. Saat Abah dibenar pulang, kami panjatkan syukur pada yang Esa. Tiada lain yang kami pinta, moga Abah sentiasa sihat dan ceria kerna KAMI SAYANG ABAH.

® hafizmd – tanyalah khabar orang tua kita, peluklah mereka selagi meraka ada di sisi kita & terima kasih buat isteri tercinta kerna sentiasa di sisi.

p/s – Maaf, entri ini agak panjang. Hanyalah sedikit luahan kasih sayang seorang anak.

p/s lagi – Sebab itu juga, blog ini telah bercuti selama seminggu iaitu minggu lepas.