Surat Untuk Adik:Cerita 17,520 Jam

 Assalamua’laikum.

Antara anugerah dan amanah Allah yang terbesar ialah anak-anak. Alhamdulillah, setakat ini ambe dikurniakan 2 orang cahaya mata penyeri rumahtangga. Sepasang. Andai dikenang kembali, hari ni genaplah hampir 17,520 jam atau 2 tahun anak kedua ambe lahir menjengah dunia penuh pancaroba. Selamat hari lahir buat anakku, Ahmad Hariz. Nanti Adik dah pandai baca, boleh baca isi surat ini khas Abah titipkan untuk Adik…

Adik, setiap jam yang berlalu merupakan saat yang akan Abah kenang selagi hayat dikandung badan. Sekarang, pasti Adik masih tak mengerti tentang perit jerih jerit Mama yang bertarung hampir 6 jam melahirkan Adik. Walau Abah selalu berpesan pada Adik tentang perlunya berbuat baik pada Mama, mana mungkin Adik memahaminya pada usia 2 tahun.

Namun, Abah mengerti dan faham, Adik sayangkan Mama lebih dari segala mainan kereta Adik. Adik pasti akan memihak pada Mama setiap kali Abah sengaja bergurau kenakan Mama. “Abah…angan acau Mama…” Adik juga pastinya cuba menutup kepala Mama dengan tangan kecil Adik seandainya panas cahaya matahari terkena Mama. Terkadang Adik lebih gembira dimandikan Mama berbanding Abah. Mencari Mama tatkala digigit semut dan nyamuk.

Adik, Abah tak cemburu walaupun Adik belum lagi pernah menutup kepala Abah dengan tangan kecil Adik. Abah langsung tak pernah dan akan marah Adik kalau Adik tak memihak pada Abah setiap kali Abah bergurau dengan Mama. Juga Abah tak cemburu melihat Adik riang bermain air dimandikan Mama.

Adik, cuma ingatlah satu saat dan ketikanya nanti. Abah pasti gembira jika Adik yang memandikan Abah dengan mandian terakhir. Abah pastinya sedih jika bukan Adik yang mewudukkan Abah bila saatnya tiba nanti. Abah pastinya gembira jika Adik yang akan menyisir rapi rambut Abah nanti. Abah pasti akan terkilan dan kecewa jika bukan Adik yang menutup kain putih terakhir Abah. Abah pasti lebih sedih jika bukan Adik yang mengakhiri solat terakhir Abah nanti. Abah juga lebih sedih jika bukan Adik yang mendoakan Abah bila Abah memerlukan doa Adik nanti.

Adik, Abah mencuba sedaya yang terbaik mendidik Adik untuk menjadi anak yang lebih baik berbanding Abah. Abah cukup gembira bila Adik bersungguh meniru Abah berwuduk walaupun habis lencun baju Adik. Abah senyum gembira melihat Adik cuba meniru Abah bersolat walaupun Adik berseluar pendek. Abah gembira bila Adik duduk di riba Abah, sama-sama menadah tangan berdoa. Abah bangga dengan Adik.

Adik, ingatlah pesan Abah. Abah mungkin tak mampu memberikan Adik sebeban harta wang ringgit penuh dalam akaun walaupun memang ada Abah beli 2-3 ketul emas bar untuk Adik dan Kakak dan simpanan di ASB. Abah berjanji akan berusaha untuk membekalkan Adik dengan harta yang lebih bernilai tiada tolok bandingnya, ilmu Allah. Dengan ilmu ini, Abah harapkan Adik bakal menjadi seorang anak yang soleh, seorang anak murid yang disayangi guru, seorang ahli masyarakat yang dihormati malah menjadi seorang ilmuan yang dikasihi.

Adik, selamat hari lahir yang ke-2. Pastinya Adik belum memahaminya. Abah yakin, Adik pasti akan membaca coretan Abah ini nanti bila tiba masanya. Tiada doa lain yang Abah panjatkan pada Ilahi, semoga Adik menjadi anak yang soleh yang memberi kebaikan kepada agama, negara dan keluarga.  Abah sayang Adik.

@hafizmd – Surat Untuk Adik:Cerita 17,520 Jam. Beberapa kali berhenti, mengesat air mata kerinduan kepada arwah Abah. Al-Fatihah.