Awasi Percakapan Kita!

 Assalamua’laikum.

Awasi Percakapan Kita! Alhamdulillah. Kita masih lagi dapat celik mata hari ni. Moga-moga kita juga lebih celik hati. InshaaAllah. Bahang PRU 13 makin terasa. Anda boleh tengok sendiri betapa meriahnya bendera di pacak sana-sini. Kain rentang dibentang merata-rata. Blog-blog politik semakin lancang mencanang agenda tersendiri. Segala lemah dan aib dibuka seluas-luasnya tanpa berfikir panjang! Apa jua yang ditulis dan dicanang, ingatlah satu perkara iaitu ‘Awasi Percakapan Kita’. Jom ambe kongsikan intipati buku mini bertajuk ‘Menjadi Muslim Terbaik’, karya Ustaz Aa Gym.

1. Antara integriti sifat Rasulullah ialah Siddiq (benar dalam perbuatan dan lisan). Maksud firman Allah dalam surah Maryam ayat 50;

” Dan Kami anugerahkan kepada mereka sebahagian dari rahmat Kami dan Kami jadikan mereka buah tutur yang baik lagi tinggi”

2. Antara mutiara kata menarik tentang mengawasi tutur kata ialah “mulut bagaikan muncung teko yang hanya tahu mengeluarkan isinya”

3. Ketahui 4 tahap perkataan bila bercakap. Di manakah kita bila kita mula bersembang dan berkata-kata?

  • Perkataan orang dangkal. Ciri-cirinya ialah sibuk bercerita kehebatan diri sendiri. Mengungkit pemberian dan jasa yang dibuat. Berhati-hatilah kita. Kita hidup untuk beribadah kepadaNYA. Apakah kita perlu mengharapkan penghargaan manusia?
  • Perkataan orang yang martabatnya rendah. Ciri-cirinya ialah bila bercakap sentiasa mengeluh, menghina, caci dan maki. Biasanya, apa saja yang ada depan mata, ada saja yang tak kena. Nak bangkang saja. Bila diberi makan, bersungut kata tak sedap. Nak tambah kicap. Dah tambah kicap, nak tambah telur mata pulak. Ada saja tak puas hati. Ada saja persepsi negatif yang keluar bila bercakap. Apakah kita sebegini?
  • Perkataan orang biasa. Bila bercakap hanyalah sekadar sembang kosong. Takde isi dan manfaat. Habis isu nak diulas tanpa sebarang pengajaran, ilmu dan ingatkan Allah. Wanau’zubillah. Sama-sama kita perbaiki diri terutamanya kita yang sentiasa bersosial samada secara nyata atau di alam maya. Astaghfirullah.
  • Perkataan orang yang bijak. Bila bercakap pasti ada manfaatnya hingga orang yang membacanya dan mendengarnya terasa tak rugi berada dalam golongan mereka yang bijak bila berbicara. Golongan ini juga biasanya banyak berdiam diri dan mendengar percakapan orang lain untuk mengambil manfaatnya. Perlu juga kita awas dengan mereka yang petah berkata-kata. Petah berbicara tanpa kebijaksaan bakal mengundang padah yang lebih durjana!

4. Ayuh kita pakat sama-sama muhasabah diri masing-masing. Janganlah kita sibuk mencari aib dan salah orang kerana setiap antara kita akan ditanya tentang perbuatan dan percakapan diri sendiri.

5. Sama-sama kita perbanyakkan zikir dan selawat serta salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Jom kita paksa hati kita kembali kepada fitrah kenal Allah!

@hafizmd – Awasi Percakapan Kita! Diam itu lebih baik.

Rujukan: Menjadi Muslim Terbaik – Aa Gym