Dengarlah Rintihan Si Berongga

Assalamua’laikum.

Sudah puas Si Berongga mengadu. Adakalanya Si Berongga mogok menolak sebarang kerja. Kadang-kadang Si Berongga tendang semula kerja yang diberi tuannya. Apa salah Si Berongga diperlaku sedemikian rupa. Apakah tuannya tidak berhati perut? Mustahil. Tuannya cukup sempurna sifatnya. Cuma 5 tahun kebelakangan ini saja, kurang sikit kacaknya akibat selalu tewas di medan perjuangan. Adakalanya, Si Berongga ditampar bertubi-tubi di depan cermin oleh tuannya. Oh! Kesian Si Berongga….

Kini Si Berongga semakin tertekan. Di awal permulaan puasa, Si Berongga punya satu impian. Impiannya cukup murni. Ingin dia berehat sementara bukan kerana mahu ponteng kerja, tapi demi kelangsungan hidup tuannya. Si Berongga selama ni, jarang sekali menolak kerja. Jauh nak berdemonstrasi menuntut haknya. Kadang-kadang ada juga Si Berongga cuti, tapi itupun salah tuannya juga. Tak pandai menjaga dirinya. Si Berongga perlu berehat demi tuannya.

Puasa semakin ke hujungnya, namun Si Berongga semakin gerun dengan keganasan tuannya. Pantang dipandang segala yang licin malah yang berbonggol-bonggol rupanya. Apatah lagi yang wangi harum baunya bermacam warna. Pasti tanpa segan silu direntap dibaham tanpa belas kasihan oleh tuannya. Ada juga Si Berongga merintih cuba menolak, tapi apakan daya, Si Berongga jenis yang setia.Terima seadanya.

rintihan perut di bulan ramadan dan syawal
Inilah wajah sebenar Si Berongga | Kredit gambar: WikiPedia.org

Impian murni Si Berongga untuk menikmati rehat sebentar di bulan puasa semakin nipis bak jerebu ditelan hujan. Si Berongga bimbang jika impiannya bakal berkubur tanpa batu nisan sementalah bulan puasa semakin sampai ke penamatnya. Maksudnya, kebarangkalian tuannya untuk lebih mengganas menyentap dan membaham segala yang licin, wangi lagi harum dan berwarna warni semakin tinggi. Si Berongga risau tentang tuannya. Mampukah tuannya bertahan?

Tiba-tiba Si Berongga rasa kesepian. Oh! Tuan aku tertidur rupanya. Patutlah senyap saja. Tidur??? Ini memang sudah lebih. Tuan aku belum lagi tunaikan hakNYA! Siaplah kamu wahai pemlik Si Berongga! Si Berongga mungkin akan mengamuk bila-bila masa….

@hafizmd – Dengarlah rintihan Si Berongga masing-masing =)