5 Hijrah untuk blogger sempena Awal Muharram…

Salam Tahun Baru Hijriah 1432. Memang cepat benar masa berlalu. Awal Muharram yang baru saja tiba semalam memberi petanda yang umur kita semakin bertambah, dan perjalanan hidup kita juga semakin menghampiri titik noktahnya.

Dikesempatan yang ada, mengisi ruang dan waktu yang terbatas, mengambil peluang yang terhidang…hidup sebagai seorang blogger pada pandangan saya seharusnya diisi dengan penuh makna dan punya misi lebih jelas serta terarah. Bukan setakat meraih apa yang jelas (PR, jumlah pengunjung unik yang tinggi, komen yang banyak, hasil sampingan dari Nuffnang dan sebagainya), tapi yang lebih utama ialah saham yang kita mampu bawa hasil dari aktiviti blogging itu sendiri.

5 hijrah@perubahan untuk blogger sempena Awal Muharram ini khas untuk diri saya sendiri, andai ada yang boleh diambil dan digunapakai, alhamdulillah. Andai tidak memberi sebarang manfaat, maklumkan dan abaikan saja entri ini.

1. Hijrah Entri

Saya punya keinginan supaya setiap entri yang diterbitkan mampu memberi sedikit ilmu dan manfaat buat pembaca (khasnya untuk diri sendiri juga). Sebarang entri yang tidak jelas sumbernya juga tidak akan diterbitkan untuk mengelakkan sebarang entri bertukar menjadi medan penghubung fitnah. Bak kata Mama Murai “Saya baca, saya fikir, saya tulis”, bukannya “Saya tengok tajuk, saya copy, saya paste

2. Hijrah Bahasa

Terpanggil untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam arena blogging membuatkan saya lebih fokus untuk menerbitkan setiap entri Bahasa Melayu supaya lebih tepat tatabahasanya, ejaannya, tanda baca dan sebagainya. Banyak blog di Malaysia (mungkin juga blog ini) yang menggunakan gaya bahasa yang saya sendiri pening dan keliru untuk membacanya. Saya tidak mahu menjadi tipikal blogger!

3. Hijrah Komen

Komen yang berkualiti menunjukkan siapa kita sebenarnya. Diakui, kadang-kadang dalam keseronokkan kita meninggalkan komen, kita terlupa untuk mengulas dan memberi buah fikiran tentang entri yang diterbitkan. Ayuh, sama-sama kita lebih berfikir dan menjadi komentator yang berkualiti!

4. Hijrah Khidmat Sosial

Antara yang sikit rasa ralat ialat sikap tidak cakna blogger (termasuk saya sendiri) dalam memberi sokongan kepada sebarang aktiviti sosial. Contohnya Blogger Action Day 2010. Jom sama-sama memeriahkan sebarang aktiviti sosial yang sudah pasti memberi manfaat kepada semua. Inilah antara tugas seorang blogger!

5. Hijrah Blog

Nak berhijrah ke mana? Mungkin ada yang rasa sudah sampai waktunya untuk berhijrah hosting. Kalau sebelum ini memang banyak kali bermasalah, inilah masanya untuk kita berubah selera dan mencari penyedia hosting yang lebih baik. Blog ini akan terus kekal di sini selagi tiada masalah besar yang melanda. Teman blogger macam mana?

Itu antara perubahan dan azam saya sebagai seorang blogger sempena Awal Muharram ini. Maaf jika ada teman yang terasa dan tidak senang. Ini hanyalah sekadar peringatan untuk diri sendiri khasnya.

® hafizmd – cukup “terkedu” dengan gaya bahasa anak muda berkarya….