Akhirnya si suami tidur lena…

Salam Hari Jumaat, penghulu segala hari. Selawat dan Salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sabda Nabi SAW;

Banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari saksi (hari Jumaat) disaksikan oleh para malaikat.

Entri santai di hari pagi Jumaat kali ni berkisar perihal apa sebenarnya yang isteri mahukan. Adakah mereka mahukan sealmari intan berlian?, emas dari jari sampai ke leher?, kereta hibrid terbaru dari Toyota ataupun iPad keluaran Apple? Memetik kata-kata Dr. Fadhilah Kamsah, katanya…orang perempuan ni suka cakap berlapik-lapik dengan suami. Contohnya begini;

Situasi: Pasangan suami isteri sedang berjalan-jalan di Jalan TAR sambil minum air kelapa selepas menemani suaminya membeli kasut futsal.

Isteri: “Eh Bang, cantiknya beg tangan tuh…” —> dalam nada yang bersungguh.

Suami: “eeee…yang mana Yang?…” —-> jawab nak tak nak saja sambil terus menarik tangan isteri berlalu dari situ.

Apa yang terjadi sebenarnya?

Ok. Dari situasi di atas, kita faham yang isteri menunjukkan minat pada satu-satu perkara tapi suami pula tidak memberi respon yang diharapkan sama sekali.

Maka, berlalulah si isteri dari situ tanpa berkata apa-apa….maklumlah, kalau cakap lebih-lebih, nanti suami sibuk berkata “..ingat yer, syurga isteri bawah telapak kaki suami tau…”

Setibanya mereka di rumah, suami pantas meminta secawan kopi jantan ais buat melegakan keperitan dek panas berjalan-jalan tadi.

Isteri mithali yang belum sempat membuka tudungnya, sekonyong-konyong terus bergegas ke dapur, mengacau kopi jantan ais kegemaran suaminya itu. Tiada sebarang tanda membantah mahupun menolak waima dirinya juga lebih terasa kering tekak dan letih.

Menjelang malam, isteri ber’klung klang klung kleng’ di dapur menyiapkan makan malam. Dijelingnya juga si suami yang enak bersandar di sofa empuk yang sudah mula kelihatan sedikit terpenyek. Jarang sekali si isteri berpeluang bercanda-canda di sofa empuk itu. Jauh sekali untuk melayan sinetron Indonesia yang sudah masuk ke episod 198 yang selalu diceritakan rakan sepejatnya.

Seusai makan malam berlaukkan daging dendeng, sup ayam, sayur campur dan jus oren, si isteri berkejar pula ke singki dapur untuk membersihkan pinggan mangkuk. Dijelingnya sekali lagi si suami di sofa, tapi hanya kelihatan bahagian perut saja yang membulat kekenyangan. “Alhamdulillah, kenyang suami aku….”

Menjelang malam, si isteri yang bersiap-siap untuk merebahkan badan di bantal empuk yang dirindui, dikejutkan oleh suara garau si suami yang sudah mula menunjukkan aksi kucing yang gatal lagi miang.

Faham pada tanggungjawab seorang isteri, si isteri menurut saja. Masak benar dengan perangai suaminya, asal siang minum kopi jantan……ada saja yang dimintanya.

Habis saja melunaskan tanggungjawab, si isteri meminta suami untuk mengurutkan kakinya. Lenguh juga ke hulu ke hilir sepanjang hari. Belum sempat habis mengurut, dengkuran suami sudah mula memenuhi kamar beradu mereka.

Akhirnya, si suami tidur lena ibarat raja di peraduan…diberi layanan sepenuh hati oleh si isteri.

Si isteri pula, tersenyum puas dapat memberi yang terbaik untuk suami walau diri tidur bersulamkan kaki yang masih lenguh dan badan yang keletihan. Si isteri cukup redha.

Tidak terdetikkah di hati para suami, adakah si isteri tidak perlukan PERHATIAN dan BELAIAN?

® hafizmd – kagum pada isteri yang punya sifat sabar dan tabah dalam fasa mengandung…cukup kagum!

Published by Hafizmd

Artikel ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan juga melalui pembacaan. Sebarang kehilangan, kerosakan dan komen pembaca adalah tanggungjawab anda. Dapatkan bantuan pakar berkaitan jika memerlukan khidmat nasihat yang tepat. Jika entri ini bermanfaat, mohon 'Like, Tweet & G+' kepada rakan anda. Terima kasih dan selamat membaca.