Kita memang selalu begini

Sampah sarapCuba kita fikir dan perhati betul-betul, adakah kawasan rumah atau tempat tinggal kita (samada dalam atau luar) adalah bersih? Ada ke timbunan sampah, daun atau plastik yang ditakungi air? Cuba tengok betul-betul. Jangan kita sesakali cuba buat-buat tak nampak, padahal sampah memang ada depan mata. Sudahlah bertimbun, bertakung air pula.

Ini mungkin gambaran yang sebenar perihal sikap kita bila bulan berbicara tentang sampah. Kita selalu ambil mudah. Dialog begini mungkin sudah bernanah biasa kita dengar ” Alaa..kan ke ade majlis bandaran, nanti diorang takde keje pulak”. Ini yang saya selalu dengar dan lihat. Tak percaya? Cuba kita perhatikan dua situasi ini:

  1. Tapak pasar malam – cukup sedih bila saya perhatikan, selepas saja habis waktu pasar malam, sampah bertaburan sana-sini. Seperti sudah menjadi kebiasaan membuang sampah tanpa rasa bersalah.
  2. Di jalan raya – saya cukup anti pada pemandu mahupun penumpang yang suka-suka hati membuang sampah keluar dari kenderaan mereka. Pada mereka, mungkin tiada apa kesan dan masalah.

Saya sedar dan tahu, memang sudah menjadi tanggungjawab pekerja bandaran untuk membersihkan sampah-sarap. Tapi, pernahkah kita terfikir, apa peranan kita untuk memastikan persekitaran kita bersih dan selamat? Apa yang boleh dan mampu kita lakukan sebagai seorang warganegara yang baik, lebih-lebih lagi sebagai penganut Agama Islam yang mementingkan kebersihan dan kesucian?

Saya masih ingat lagi waktu di sekolah rendah. Sebelum waktu belajar bermula pada jam 7.30 pagi, kami ada aktiviti mengutip sampah di kawasan sekolah. Sampah tidak dibenarkan dibuang merata-rata, digalakkan simpan dahulu di dalam poket, kemudian dibuang kedalam tong sampah. Alhamdulillah, aktiviti tersebut rupa-rupanya menjadi sebati dalam diri saya. Jauh sekali untuk mengatakan saya ini baik. Tidak sama sekali. Terkadang, memang terlepas juga.

Kesimpulannya, yang  penting nak sebut kerjasama la tu , kita perlu sedar tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan persekitaran. Janganlah kita bersikap lepas tangan seperti “baling sampah, buat muka seposen”.

® hafizmd – Sikap suka buang sampah dah jadi macam penyakit berjangkit pula. Apa pendapat anda?