Setiap petang, habis saja waktu melepak bekerja, saya dan isteri pasti bergegas ke taska untuk mengambil si puteri anak kami. Sampai saja kami, dia pasti senyum gembira. Lain benar wataknya di waktu pagi semasa kami hantarnya ke taska. Menangis dan merengek tak mahu ditinggalkan. Sudah terpaksa, kami kena juga tinggalkan. Kalau saya si bapa yang terasa sayu, mamanya hanya Allah yang tahu. Perjalanan kami balik ke rumah sungguh pantas. Biasanya tak sampai pun 10 minit, kami dah terjongol depan pagar rumah. Jarak tempat kerja dan rumah tak lebih 10 kilometer. Sungguh dekat bukan? Sempat juga merasa ‘jem’nya walaupun tidak lama tapi boleh naik pening dan sakit hati juga dengan karenah pemandu Malaysia boleh ni yang sesetengahnya ber’genetik’kan mat rempit.

Biasanya, bila sampai saja depan rumah, pasti si puteri sibuk tunjukkan jarinya yang kecil comel ke arah kanan. “Ane..ane..”…oo..fahamlah saya. Nak ke padang atas sana tu. Kalau tak hujan, mesti nak juga main-main di padang. Dulu-dulu, sebelum saya berkahwin lagi, saya memasang niat, moge-moge saya ada masa untuk bermain dengan anak-anak bila balik kerja. Cukup kesian memerhati banyak orang yang masih sibuk di tempat kerja atau di jalan raya. Sampai rumah pun sudah waktu malam. Mana ada lagi padang permainan untuk anak-anak. Akhirnya anak-anak tidur keletihan di pangkuan pembantu rumah.

Alhamdulillah, Allah mendengar niat dan azam saya. Saya cukup bersyukur. Masih ingat lagi kunjungan saya ke rumah guru saya waktu Hari Raya yang lepas. Begini katanya “haa..hantarla anak kat taska tuh, nanti tak kenal mak ayah baru tahu”. Tersentap juga . Saya akui guru saya itu memang seorang yang cukup ‘straight to the point’. Saya faham maksudnya. Tak guna melatah tapi cukup untuk saya ambil sebagai cabaran dan peringatan. Mendidik anak bukan suatu perkara yang senang. Buktinya, tengok dan pandanglah sekeliling kita. Ramai yang seolah-olah sudah lupa pada pegangan agama mahupun adat budaya.

Saya cuba sedaya-upaya supaya berapa banyak paya daa si puteri dapat menatap wajah abah dan mamanya puas-puas sebelum tidur. Bermain puas-puas walaupun waktu menginjak jam 12 malam. Bila bangun tidurpun, saya mahukan wajah saya dan mamanya yang dipandang dulu bukan wajah bengis pembantu rumah. Ramai yang sarankan, “ambillah maid, atau hantar rumah pengasuh”. Senang cakap, saya kurang percaya pada pembantu rumah dan juga pengasuh (di tempat dan situasi saya).

Akhirnya, saya sentiasa berdoa moga waktu yang saya luangkan untuk anak bersama-sama isteri cukup berkualiti untuk dia memahami dan belajar erti kasih sayang. Saya cukup percaya, kasih sayang yang cukup dan kena pada tempatnya salah satu perkara penting dalam membentuk anak-anak  yang soleh solehah.

p/s – Anda bagaimana? Sudi berkongsi?

® hafizmd – Bila kali terakhir kita bermain-main penuh mesra dengan anak-anak tanpa memikirkan beban masalah di pejabat? Tepuk dada, tanya diri sendiri..

Published by Hafizmd

Artikel ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan juga melalui pembacaan. Sebarang kehilangan, kerosakan dan komen pembaca adalah tanggungjawab anda. Dapatkan bantuan pakar berkaitan jika memerlukan khidmat nasihat yang tepat. Jika entri ini bermanfaat, mohon 'Like, Tweet & G+' kepada rakan anda. Terima kasih dan selamat membaca.