Hargai Kesihatan Buah Pinggang Anda

punca sakit buah pinggang

Assalamua’laikum.

Hargai Kesihatan Buah Pinggang Anda. Adalah menjadi lumrah manusia iaitu ‘sudah terhantuk, baru hendak tergadah’.  Oleh itu, dalam banyak hal seperti menjaga pemakanan dan kesihatan, kita mudah lupa dan tidak memikirkan kesan yang bakal dihadapi akibat dari diet dan cara hidup yang tidak sihat. Apakah punca utama kerosakan buah pinggang?

Punca kerosakan buah pinggang

Pemakanan yang tidak terkawal boleh memudaratkan kesihatan. Antara nasihat yang sering diberikan oleh pakar-pakar perubatan kepada kita adalah mengelak dari memakan makanan yang tidak sihat dan manis serta mengawal tekanan darah agar tidak tinggi ataupun mengalami hypertension. Makanan yang manis boleh membawa kepada penyakit yang kronik seperti diabetis/kencing manis. Diabetis dan hypertension ini adalah dua punca utama yang membawa kepada kerosakan pada buah pinggang [Rujukan: medicinenet.com]

punca utama sakit buah pinggang

Buah pinggang yang sihat dan berfungsi dengan baik bertindak membersihkan darah anda dengan membuang cecair berlebihan, mineral, dan bahan buangan. Ia juga menghasilkan hormon yang mengekalkan tulang yang kuat dan darah yang sihat. Tugas ini amat berat dan amat mebebankan buah pinggang. Menurut National Institutes of Health (AS),organ ini menapis lebih daripada 200 liter darah setiap hari, dan menghasilkan sekitar 2 liter bahan buangan! Dari buah pinggang, bahan buangan dan air ditapis ke pundi kencing, dan anda melepaskan ia sebagai air kencing.

Oleh itu, jika ia tidak dijaga dengan baik dan mengalami kerosakkan, maka kesannya amat memudaratkan diri kita. Sisa berbahaya boleh terkumpul di dalam badan dan tekanan darah boleh meningkat. Badan anda akan menyimpan cecair yang berlebihan dan tidak menghasilkan sel darah merah yang mencukupi. Ini dipanggil kegagalan buah pinggang. [Rujukan: US National Library Of Medicine]

Menurut laporan akhbar New Straits Times (20 Jun 2013, ms 13), jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah kerosakkan buah pinggang bertambah dengan kadar yang membimbangkan setiap tahun. Akhbar tersebut memetik kenyataan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher yang menyatakan bahawa 9.2% rakyat Malaysia menghadapi masalah buah pinggang. Ini satu jumlah yang agak besar dan serius. Lebih menakutkan lagi apabila dinyatakan bahawa terdapat 5,000 pesakit baru yang memerlukan rawatan dialisis setiap tahun. Ada dikalangan mereka dari golongan orang muda dan ini satu yang perlu dielakkan.

Rawatan buah pinggang yang rosak/gagal berfungsi?

Sekiranya buah pinggang anda gagal atau tidak berfungsi dengan betul, anda memerlukan rawatan untuk menggantikan kerja-kerja yang biasa dilakukan oleh organ tersebut. Pilihan adalah terhad kepada rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Setiap rawatan mempunyai kebaikan dan keburukannya. Yang dirisaukan adalah keburukkannya. Misalnya penyakit berjangkit yang boleh wujud semasa penggunaan mesin dialisis. Kegagalan buah pinggang mengganggu imuniti semula jadi badan anda, menjadikannya lebih mudah bagi anda untuk terkena beberapa jenis penyakit seperti Hepatitis atau AIDS melalui rawatan dialisis anda [Rujukan: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia]. Selain dari itu, perlu diingatkan rawatan ini amat besar kosnya dan ia juga adalah terhad jika di hospital di kerajaan. Pemindahan buah pinggang pula memerlukan penderma buah pinggang yang sesuai untuk ia dijalankan.

Oleh itu, hargailah kesihatan buah pinggang anda. Sebaiknya anda perlu membuat beberapa perubahan dalam hidup anda, termasuk bagaimana anda makan dan merancang aktiviti sihat buat diri anda. Tanpa perhatian terhadap kesihatan buah pinggang anda, masalah yang rumit akan menanti anda. Di masa itu, sesalan pasti tidak berguna lagi.

blogger Ismail NIsmail N adalah seorang blogger Malaysia yang menulis di laman web Dulu Lain Sekarang Lain. Penulisan di atas hanyalah buah fikiran dan pendapat beliau sahaja dan sebarang kesilapan pada fakta adalah tidak disengajakan.