Kenapa manusia makin ‘lupa’ dan ‘buta’

Saban hari kita baca, kita dengar dan mungkin juga kita saksikan dengan mata kepala sendiri akan perihal buang anak, anak derhaka, pasangan curang, vandalisma, kes rasuah, curi itu ini, penggubahan wang haram, skim cepat kaya, tipu sana sini,  dan macam-macam lagi tak ubah seperti tagline astro “macam-macam ada”.

"Pantai yang cantik"
“Sekali ombak membadai, sekali pantai berubah”

Persoalannya, boleh ke kita bangga dengan pelbagai variasi ini yang makin menyenakkan perut, menyemakkan mata dan paling trajis menghakis nilai-nilai murni seorang manusia.

Apa sebab makin ramai remaja terjebak pelbagai masalah moral, makin ramai pemimpin tersungkur bila berkuasa, fitnah berleluasa, kezaliman manusia tiada batasnya. Oh! bumi makin dihujung usia agaknya.

Makanya, saya rasa, kita makin jauh dari Yang Satu. Mata dan suara hati dan akal kita, sudah makin hilang pertimbangan dan penilaian. Buta dan lupa pada pentingnya intipati rohaniah seperti prinsip jujur, adil, disiplin, tanggungjawab, amanah dan sebagainya. Kenapa? Mungkin 7 perkara ini yang menyebabkan suara hati kita ‘buta’ dan ‘lupa’.

  1. PRASANGKA – Buruk sangka @ baik sangka? Rasanya ramai yang antara kita yang terpilih jalan buruk sangka. Padahal Nabi Muhammad SAW memberi pesan untuk sentiasa berbaik sangka. Kita kena sedar, berburuk sangka hanya akan jadikan kita buta untuk lihat sisi yang positif @ benar pada sesuatu perkara @ individu. Cara atasi – Kita kena ubah perangai, cuba untuk berbaik sangka.
  2. PRINSIP HIDUP – Hidup memang perlu ada prinsip yakni pegangan, tapi prinsip hidup menjadikan kita pelbagai ragam dan watak. Ada yang berpewatakan menarik, baik hati, baik didepan tapi busuk hati kat belakang, ada juga yang jadi manusia tidak berhati perut. Kononnya, semua disandar atas prinsip diri. Cara atasiBerprinsiplah kepada Allah, insyaAllah selamat dunia akhirat.
  3. PENGALAMAN – Ramai yang berkata “Guru paling hebat ialah pengalaman”. Kenapa agaknya? Sebab pengalaman lampau kita akan membentuk karektor dan sikap kita. Kalau pengalaman negatif sentiasa ada dalam minda kita, tak mustahil kita menjadi orang yang takut mencuba, bersikap pasif dan terbelenggu. Cara atasi – Cuba lupakan pengalaman negatif dan fikirkan yang positif, yang penting kita kena bebaskan diri dari pengalaman buruk.
  4. KEPENTINGAN – Kita selalu dengar perkataan kronisma, ‘kabel besar’, orang atas, dan macam-macam gambaran. Pastinya, ia menuju pada mementingkan puak sendiri, kepentingan peribadi/kumpulan/keluarga/politik dan sebagainya. Dalam hati terdetik “nasib orang lain, ada aku kesah?”. Cara atasi – Dengarlah suara hati yang satu lagi, walaupun sekelumit. Berpeganglah pada prinsip “kerana Allah” dan berfikir secara berlingkar (fikir orang lain juga) sebelum kita beri keputusan.
  5. SUDUT PANDANGAN – Kita agaknya biasa buat keputusan dan berfikir secara ‘one-man-show’. Almaklumlah, otai..hehe. Akhirnya, kadang-kadang, kesannya diluar jangkaan kita. Cara atasi Hakikatnya, kita ada banyak pandangan dan pemikiran, kemudian kita tentukan keputusannya dengan lebih bijaksana dan kolektif serta menyeluruh.
  6. PEMBANDING – Ini memang kerja orang kita. Contoh, duduk kedai mamak sembang hal semasa. Contohnya siapa fitnah siapa, siapa tak basuh buntut siapa, siapa melompat sini sana, siapa bagi duit, siapa keluar akademi fantasi dan macam-macam berita. Semuanya sibuk berdebat dan huha huha..menegakkan pendapat sendiri, tapi tiada kata putus. yang untung tokey kedai juga Cara atasi – Kita jernihkan fikiran dulu, fikir masak-masak sebelum menilai, jangan main buat andaian hanya berdasarkan mainan fantasi fikiran kita.  Kita kena macam ni “ada mata pandang, aku telinga dengar, ada akal pakai”.
  7. FANATISME – Sikap fanatik yang melampau sungguh bahaya. Kita akan rasa semua yang kita fikir, kita buat, semuanya betul. Orang lain, semua salah lagi tak betul atau lebih teruk. Cakaplah apa saja, mesti tak makan saman punya. Ibarat “mencurah didaun keladi” atau “masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’. Cara atasi – Cerahkan minda dan hati, jangan kita asyik fikir kita saja yang betul dan benar serta hebat. Ada lagi yang lebih berkuasa dan mengetahui. Berfikirlah dengan bijak dan telus.

Semua fakta ni, saya dapat bila saya ‘mengkelepet’ majalah isteri saya iaitu Majalah Pa&Ma. Saya suka berkongsi dengan kawan-kawan semua. Bukan bermakna saya ini baik, oh! tidak sama sekali, tapi saya cuba menjadi lebih baik dari semalam.

Kita boleh sekadar lihat dan diam, tapi pada suatu hari nanti, kita akan ditanya apa yang kita lakukan? Adakah kita hanya berdiam? Atau kitapun ‘join’ sekaki melakukan kemusnahan moral? Sungguh bagai dikata, senang mulut berbicara, tapi berat lagi bahu yang memikul.

® hafizmd – saya juga kadang-kadang ‘buta’ dan ‘lupa’..

Sumber: Rahsia Sukses Membangun ESQ, Ary Ginanjar Agustian