Malik Mirza tersenyum sambil…

Mesyuarat tergempar yang baru berlalu 30 minit terasa seperti sudah berjam-jam lamanya. Malik Mirza sudah tidak sabar lagi untuk pulang ke rumah.

“Dahlah aku baru kahwin 2 minggu lepas, boss ni saja…kacau daun betullah…,” Malik Mirza melepaskan rasa tidak puas hati separa berbisik kepada rakan baiknya yang hanya mampu tersenyum nakal. Malik Mirza tahu, memang majikannya sengaja memanggilnya bermesyuarat hari minggu sebegini hanya untuk menyakat pekerja kesayangannya ini.

Akhirnya mesyuarat 2 jam berakhir juga. Malik Mirza seperti singa hilang anak terus melangkah laju menuju ke keretanya. Langkahnya juga sudah tidak seteratur biasa. Hilang sudah segala langkahan bergaya seorang eksekutif berjaya.

“Argggh..tak kisahlah…aku dah tak tahan dah ni…,” Malik Mirza memecut laju keretanya menuju ke istana yang baru saja dibina.

“Darling….tunggu, Bb balik dah ni…”

Mendengar deruan kereta si suami yang menerjah masuk ke garaj, si isteri bergegas ke pintu menyambut kepulangan suami yang dirindui dengan senyuman menguntum di bibir merahnya. Memandang isterinya yang sungguh cantik lebih dari biasa, hampir sahaja memerangkap Malik Mirza untuk melupakan masakan kari kepala ikan yang dipintanya pagi tadi.

Namun, aroma kari kepala ikan yang dibawa angin dari arah meja makan terus mengingatkan Malik Mirza kepada misi utamanya tengahari ini.

“Nasib baik bau kari kepala ikan ni sempat sampai dulu…,” bisik hatinya sambil matanya galak mengekor lenggok jalan isteri tercinta.

“Bb, jom makan sama-sama…inilah yang Ling sempat masak tadi…kari kepala ikan, sambal belacan, ulam raja, air sirap bandung….Bb jangan terkejut…ini first time I masak kari kepala ikan tau…terus jadi…” Bersungguh si isteri mengomel persis seorang Chef sejati.

Malik Mirza yang sememangnya sedari pagi sengaja melapangkan perut untuk hidangan tengahari pantas membaca doa makan diaminkan si isteri di sisi meja makan.

Seusai bacaan doa makan, tangan Malik Mirza terus membuka penutup menu utamanya iaitu kari kepala ikan.

“Darling, mana kepala ikannya? Bb tak nampakpun…,” Malik Mirza bertanya sambil tangannya buas mencari kepala ikan.

“Eh! Ling letak banyak tadi Bb…cuba ceduk bawah sikit…”

“Darling masak kepala ikan apa tadi?,” tanya Malik Mirza sambil menceduk lagi dan lagi dan lagi….

“Darling letak kepala ikan bilis, Bb…” Si isteri menjawab penuh bersahaja.

Malik Mirza pegun dan hanya tersenyum sambil melirik penuh makna.

Malik Mirza terus mendakap erat isterinya lalu berbisik sesuatu…”Darling kat Maghribi masak kari kepala ikan guna ikan bilis ke?”

Si isteri kelahiran Maghribi hanya terpinga-pinga, kelu lidah untuk berkata-kata…diam seribu bahasa.

Petang itu, Malik Mirza tetap tersenyum riang walaupun hanya berlaukkan kari kepala ikan bilis. Malik Mirza tetap makan penuh berselera dan bersyukur kerana santapan tengaharinya hasil air tangan isteri tercinta.

® hafizmd – memang setiap isteri akan gembira bilamana suaminya makan penuh bersemangat…percayalah!