Luangkan Masa Berkualiti Bersama Keluarga Sebelum Terlambat!

contoh aktiviti bakar kalori bersama keluarga

Assalamua’laikum.

Berapa ramai antara kita yang luangkan masa untuk buat aktiviti bersama keluarga. Tak kisahlah samada aktiviti dalam rumah mahupun luar rumah. Kita ni sentiasa rasa sibuk dan sibuk dan sibuk untuk menghabiskan masa untuk anak-anak terutamanya. Jangan sampai kita tiba-tiba rasa, “Eh, dah besar dah anak-anak aku ni.” Itu mungkin sebab kita kurang berpeluang melihat mereka membesar betul-betul depan mata kita walaupun mereka sentiasa menunggu kita untuk banyak perkara!

Keluarga tetap nombor 1

Dalam apa jua hal keadaan sekalipun, saya cukup yakin kita pasti akan dahulukan keluarga. Tuntutan mencari nafkah untuk keluarga terkadang menyebabkan kita ‘hilang’ masa untuk bersama mereka. Kalau suami sahaja yang bekerja dan si isteri menjadi suri rumahtangga, inilah yang menjadi idaman. Suami mencari rezeki, isteri mengurus rumahtangga sepenuh perhatian. Takde gangguan bebanan kerja pejabat yang tak pernah surut padam.

Oleh sebab keluarga tetap nombor 1 jugalah, si isteri sekarang terpaksa melakukan satu pengorbanan yang besar dalam membantu kewangan rumahtangga. Menambah mana yang kurang untuk kelangsungan bersama. Nampak tak betapa besarnya pengorbanan seorang isteri? Penat kerja di luar, balik rumah nak kena layan anak-anak dan suami. Jangan kita suami ni sekadar jadi ‘pak pacak’ dalam urusan rumahtangga. Wajib tolong mana yang boleh. Tak reti masak, tolong potong bawang. Tak reti basuh baju, tolong sidai baju. Isteri mesti senyum dan rasa mereka dihargai dan disayangi. Kedamaian emosi mereka penting untuk ketenangan rumahtangga. Buatlah trik ni, insyaAllah aman rumahtangga.

Luangkan masa untuk isteri dan anak-anak

Anak-anak bukan nak mintak kita beli mainan mahal-mahal (walaupun memang ada jugak anak-anak minta). Mereka nak satu benda jer iaitu masa kita. Iya, masa kita yang kita rasa sangat berharga untuk kita berikan kepada mereka. Dalam kita sibuk mencari nafkah, jangan lupa nafkah untuk isteri dan anak-anak. Jangan sampai mereka rasa, adanya kita atau tak…tetap sama.

aktiviti bersama isteri anak-anak cuti sekolah
Aktiviti Tuan Ilham (Denaihati.com) bersama keluarga

Gambar ni saya ambil di instagram milik blogger hebat, Tuan Ilham Denaihati.com. Memang terbaik! Berbasikal bersama keluarga sambil keluar peluh. Serius, kalau kita dapat jadikan aktiviti macam ni rutin bulanan, insyaAllah rumahtangga akan lebih ceria, beraura positif dan paling penting, anak-anak rasa “Rumahku Syurgaku.”

Masa anak-anak masih kecil adalah masa paling sesuai dan senang nak didik mereka. Ajarlah mereka apa saja. Kalau putih yang kita tunjuk, ‘putihlah’ anak-anak kita. Kalau hitam yang kita tunjuk, ‘hitam’lah anak-anak kita. Kita pilih mana yang kita nak. Contoh paling dekat ialah ujian banjir besar yang menimpa saudara seagama kita di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor. Ini saatnya kita didik anak kita sifat saling ambil berat dan tolong-menolong biarpun mereka bukan ahli keluarga kita. Sifat-sifat baik nak kena tunjuk dan ajar, insyaAllah mudah-mudahan anak-anak membesar dengan penuh sifat mahmudah. Bukannya penuh dengan sifat buruk sangka, dengki dan saling menyalahkan!

Apakah cukup bantuan material tanpa spiritual. Baca di sini –> “Mangsa Banjir Bukan Sekadar Perlukan Bantuan Material

Carilah masa untuk beraktiviti bersama anak-anak dan isteri. Bekerja sampai tak ingat anak isteri bukan ajaran Nabi kita yang disifatkan lelaki sempurna di mata isteri-isteri Baginda dan paling terbaik dalam melayani keluarga. Kalau bukan Baginda yang menjadi model kita, siapa lagikan?

Baginda SAW sendiri main lumba lari dengan Siti Aisyah dan berpura-pura kalah untuk menceriakan hati isteri tercinta. Apalah sangat masa yang kita ada kalau orang tersayang rasa kita hanya hebat di luar rumah, tapi tenggelam lagi kelam dalam rumahtangga sendiri.

Entri ni sah-sah untuk ingatan diri saya sendiri. Kalau ada kebaikan, bolehlah ambil mana yang baik. Yang busuk, buang jauh-jauh.

@hafizmd – Boleh juga berkongsi dengan rakan-rakan dengan menekan butang LIKE & SHARE. =)