Pok De dan cicak tokek…

Alkisah…

"khasiat cicak tokek harga nak jual"

Tersebutlah kisah seorang pemuda yang sangat obses pada cicak tokek. Apa saja yang dibualkan, pasti nama tokek sentiasa meniti di bibirnya. Di kedai, rumah, tepi jalan, dalam hutan, belakang rumah, malah di ceruk kampung mana sekalipun kedengaran ada cicak tokek, pasti di situlah dia berdiri. Bak kata Tok Penghulu kampungnya: ” Di mana ada tokek, di situ ada Pok De Tokek”.

Iya, Pok De Tokek…itulah nama samaran yang diterimanya semenjak dua menjak ini. Semuanya gara-gara tokek yang dikhabarkan boleh menjutawankan pemiliknya.

Pok De, seorang petani moden yang terlibat dalam penanaman pelbagai jenis tanaman kaedah fertigasi. Sebut saja tanaman apa…cili, terung, labu, tembikai….semua ada di kebunnya. Walau tidak seluas mana tanah yang dikerjakan, hasil tulang empat keratnya sejak 2 tahun lalu sudah mula menampakkan butir-butir kejayaan.

Namun, sebulan yang lalu, rutin hidupnya telah berputar 360 darjah gara-gara cicak tokek.

Kalau dulu paginya bermula dengan sesi panas badan memegang cangkul, mencabut rumput dan membancuh baja, tidak lagi kini.

Kini, rutin paginya diisi dengan menyediakan sarapan pagi penuh berkhasiat untuk cicak tokek kesayangannya. Menu cengkerik, ulat dan serangga yang kaya protein menjadi pilihan utama. Pok De tak kisah tangannya kotor, badannya sengal-sengal dek mengorek dan merangkak mahupun mengejar habuan untuk tokeknya. Pok De sudah lali dengan semua itu. Janji cicak tokeknya kenyang dan membesar cepat-cepat. Kalau dah lebih 300 gram, barulah Pok De akan jual.

Kalau dulu makan tengaharinya di bawah gubuk kecil, kini tidak lagi.

Rutin tengaharinya diisi penuh bermakna dengan menjelajah seluruh kampung termasuklah kampung sebelah. Habis ceruk Pok De jelajah demi mencari cicak tokek. Sudahlah sarapan pagi hanya air kosong dan sekeping roti….tengahari pula menghabiskan nasi lemak yang dibeli pada waktu pagi.

Pok De tak kisah cicak tokeknya makan makanan lebih berkhasiat berbandingnya, asalkan cicak tokeknya membesar sihat dan berat! Sayang sungguh Pok De pada cicak tokeknya.

***************************************

~ tunggu sambungan yer ~

Adakah Pok De mampu bergelar jutawan dengan membela cicak tokek? Bagaimana kesudahan cerita Pok De dan cicak tokeknya? Adakah cicak tokeknya berjaya membalas budi Pok De?

® hafizmd – ada teman-teman yang bela cicak?