Untukmu Palestin

Assalamua’laikum.

Tangisan seorang kanak-kanak Palestin malam tadi di kaca tv cukup membuatkan mana-mana hati tersentuh dan hiba. Terpaksa berpindah 2 hari sekali demi meneruskan kelangsungan hidup akibat hujanan peluru dan bom tentera laknat Israel. Cukup perit melihat wajah seorang ayah yang menceritakan jerit perih membawa anak isteri bergelandangan di bumi sendiri. Wajah kepenatan mulai terpampang jelas akibat tekanan laknat zionis Israel. Untukmu Palestin.

Solat Hajat dan Qunut Nazilah

Untukmu Palestin! Alhamdulillah. Pastinya seluruh jemaah Solat Jumaat hari ni baru selesai mendirikan solat hajat dan qunut nazilah untuk saudara kita di Palestin. Doa kita hanyalah satu demi kesejahteraan rakyat Palestin dan kehancuran tentera zionis Israel. Ramai juga yang memilih untuk memboikot produk Israel. Apa jua pilihan mahupun usaha kita, moga usaha kecil kita ini mampu untuk memberi kekuatan kepada seluruh pejuang Islam Palestin dan penduduk Palestin.

Untukmu Palestin! Apa kata kita ambil sikap istiqomah ini dalam membantu saudara kita di Palestin. Istiqomahlah  berdoa selepas solat, solat hajat dan sumbangan wang ringgit walaupun kecil nilainya. Inilah yang terbaik demi memenuhi sabda Nabi, “Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri”.

Boikot Produk Israel

Untukmu Palestin! Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin bukanlah isu baru. Maka, ambe rasa isu boikot juga tidak sepatutnya bermusim ibarat “hangat-hangat tahi ayam”. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Ini yang sepatutnya kita sama-sama usahakan. Ambil kisah seekor burung yang membawa air dalam paruhnya yang kecil untuk membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Biarpun nampak tidak mungkin padam api yang membakar, burung kecil itu tetap istiqomah membantu demi melunaskan tanggungjawabnya membantu! Biarlah apa orang kata, janji kita mulia di mata Allah.

Untukmu Palestin! Andai kita mampu menyelami semangat persaudaraan Islam, kesedihan dan penderitaan rakyat Palestin…In Shaa Allah hati kita akan bersatu padu atas syahadah yang Satu. Lupakan segala perbalahan berbeza ideologi politik yang membawa barah perpecahan. Ayuh bersatu demi lafaz syahadah “Lailahaillahallah, Muhammad Rasululullah”.

Sumbangan Bantuan Untukmu Palestin

Sumbangan wang ringgit terus ke tabung Aman Palestin Berhad seperti berikut;

  1. Maybank Malaysia Berhad: 5622 6301 0787
  2. Bank Islam Malaysia Berhad: 1202 9010 0478 80
  3. Bank Muamalat Malaysia Berhad: 1207 0005 1337 17
  4. RHB Islamic Bank Malaysia Berhad: 2124 5760 0049 07
  5. Bank Rakyat Malaysia Berhad: 22-080-619592-2

Sumbangan juga boleh dibuat ke tabung bantuan Aqsa Syarif. Boleh terus ke laman ini, Dana Bantuan Palestin Aqsa Syarif untuk maklumat akuan bank dan wakil Aqsa Syarif.

@hafizmd – Kita sendiri tidak bersatu, bagaimana kita mahu kuat? Benarlah Yahudi Zionis Israel cuba melenyapkan rakyat Palestin.