6 jam…

Assalamua’laikum.

Ada tuan rumah ke tak ni? Sunyi dan dah mula bersawang…ehem ehem….Alhamdulillah..akhirnya sempat juga luahkan satu entri. Lama juga tak menulis…jari-jemari rasa kaku ibarat parang sudah lama disimpan…berkaratlah tu…hehe..

Sepatutnya entri ini ditulis 44 hari yang lalu. Nak buat macam mana, penulis sibuk sampailah hari ini baru sempat menyelak kembali helaian pengalaman 6 jam ini. Kenapa 6 jam? Tajuk punyalah pendek, tapi 6 jam inilah satu saat yang tak akan dilupakan sampai bila-bila…

Jam 4.30 pagi, 23 Januari 2011

Isteri mengadu sakit perut yang sedikit luar biasa. Kandungan yang sudah mencecah 9 bulan itu sudah mula memberikan kontraksi yang lebih kerap dan lebih sakit. Kontraksi yang sebelumnya sekitar 30 minit sekali, sudah mula berubah ritma 10 minit sekali. Isteri masih lagi mengusap perutnya. Tampak sedikit kerut di dahi menahan kontraksi yang semakin kerap.

Tanpa berlengah, kami meredah pagi yang sunyi, beransur ke klinik berhampiran kediaman. Kali ini, aku nekad untuk menemani isteri di bilik bersalin.

Jam 5.30 pagi, 23 Januari 2011

Selepas hampir 45 minit pemeriksaan rutin oleh jururawat, isteri ditempatkan dalam sebuah bilik. Masanya semakin hampir. Kontraksi yang dialami isteri juga semakin kuat. Aku hanya mampu memberi kata semangat dan menggenggam erat jari-jemarinya. Setiap kali kontraksi datang, setiap kali itulah isteri kelihatan perit menahan sakit, namun masih mampu tersenyum bilamana tangannya digenggam erat.

Aku terus terbayang “kesengsaraan” isteri, menahan kesakitan seorang diri sewaktu bertarung melahirkan anak pertama. Menggigil seorang diri menahan kesakitan.

Jam 8.30 pagi, 23 Januari 2011

Isteri masih mampu tersenyum waktu menikmati sarapan pagi. Walau hanya telur separuh masak dan biskut, isteri tetap juga gagahkan diri mencari bekalan tenaga untuk ‘pertarungan’ nanti. Aku kenyang melihat isteri yang kelihatan ceria bersarapan.

Kontraksi berulang tidaklah berkurang malahan lebih kuat dan kerap. Kerutan di dahi isteri juga makin jelas kelihatan. Aku hanya mampu berdoa dan memberi kekuatan.

Aku kian jelas, kerutan di dahi seorang ibu bukanlah tanda ketuaan, tapi tanda sebuah pengorbanan.

Jam 9.40 pagi, 23 Januari 2011

Doktor pakar memeriksa isteri sambil bersedia menyambut kelahiran anak kedua kami. Aku di sisi bagai tak percaya, inilah pengalaman dan saatnya yang aku nanti. Bertarung selama hampir 40 minit, bukanlah satu tempoh yang singkat bagi aku. Keringat dan pengorbanan yang isteri curahkan tidaklah dapat aku balas selamanya.

Isteri walau menahan keperitan yang teramat, tampak cukup tabah. Aku di sisi tidak putus-putus memberi semangat dan membaca Kalamullah. Tiada perkataan yang mampu ditulis untuk menggambarkan pengorbanan isteri@seorang ibu disaat melahirkan seorang anak. Melihat isteri dalam keadaan sebegitu, hati berasa cukup sayu dan tanpa sedar…mata ini sudah mulai bergenang. Cepat-cepat aku tahan supaya isteri tidak perasan.

Percaya atau tidak, apa yang terlintas di fikiran ialah “cukuplah anak dua orang….” lantaran tidak lagi sanggup melihat isteri menahan kesakitan yang amat luar biasa ini, tapi isteri kalau ditanya sekarang, ‘….serikkah bersalin?’.

Jawapan isteri tegas dan terang ‘TIDAK’.

Jam 10.25 pagi, 23 Januari 2011

Tangisan bayi memecah bilik bersalin. Laungan azan dan iqamah bergema segenap ruang. Ucapan Alhamdulillah tidak putus-putus membasahi bibir kami. Isteri walau kelihatan kurang bermaya, kini sudah hilang segala keperitan dan kesakitan. Alhamdulillah, semuanya sudah selamat.

Tempoh 6 jam terakhir yang dilalui, pasti sukar untuk dilupakan walau sesaat dan aku sememangnya tidak mahu ianya luput dan hilang dari kotak ingatan. Biarlah ia terus segar sebagai pemberi ingatan akan pengorbanan sejati seorang pejuang!

® hafizmd – kepada kakak dan adik, ingatlah satu perkara ini…benarlah “syurga itu di bawah telapak kaki ibu”…