Jom Pakat Ulangkaji 6 Adab Berbuka Puasa

Assalamua’laikum.

Adab berbuka puasa Ramadhan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Sedia atau tak, insyaAllah berpuasalah kita. Jangan kita lupa, puasa bukan takat tahan lapar nafsu makan, tahanlah kita dengan macam-macam nafsu yang menggoda seluruh jiwa dan pancaindera kita. Hikmah berpuasa Ramadhan nak kena rebut selagi ada ruang dan peluang. Untuk sama-sama kita tambah keberkatan semasa berbuka, eloklah kita pakat-pakat peringat diri dan keluarga masing-masing tentang 6 adab yang wajar kita buat masa berbukan puasa Ramadhan nanti. Jomlah kita yop!

Adab ketika berbuka puasa

"gambar kuih tahi itik dn resepi"1. Segera berbuka bila masuk waktu

Masuk saja waktu Maghrib, eloklah kita terus berbuka puasa tanpa bertangguh. Sesuai dengan maksud hadith Nabi Muhammad SAW ((Riwayat Bukhari & Muslim);

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

2. Berdoa ketika berbuka puasa

Rugi kalau kita lupa untuk berdoa masa nak berbuka puasa ni. Sebabnya Rasulullah bersabda (Riwayat Ibn Majah) yang bermaksud;

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

3. Berdoa kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa

Sebagai tanda terima kasih, wajar kita berdoa kepada mereka yang bermurah hati memberi kita makanan/minuman untuk berbuka.

4. Berbuka puasa dengan rotab, tamar atau air.

Jelas lagi terang, makanan yang paling afdal dan baik untuk berbuka puasa ialah apa jua jenis kurma atau air. Bukannya rokok mahupun ayam golek, tapi kalau ayam golek yang ada, janganlah ditangguh pula.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan jika tiada tamar, maka baginda meminum beberapa teguk air.” (RiwayatAhmad & Tarmizi)

5.  Tidak melampau ketika berbuka

Di sinilah antara cabaran paling besar. Membeli kita perut lapar memang benar-benar mencabar bagi manusia yang mudah tergoda. Ingatlah pesan Allah dalam surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud;

“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. “

6. Segera solat Maghrib selepas berbuka jika makanan belum dihidang

Jika makanan dah siap dihidang, makruh untuk tinggalkan hidangan sepertimana maksud hadith Rasulullah SAW (Riwayat Bukhari dan Muslim);

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat jamaah sedang didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopah-gapah sehinggalah dia selesa.”

Seeloknya kita makan berat selepas solat Maghrib kerana waktu Maghrib ni pendek saja. Ditakuti, kita leka dengan tarian ayam golek, nyanyian kuih lapis dan deruan air sirap bandung.

Jomlah selagi lagi ambe peringat diri sendiri yang hina ni untuk tingkatkan amalan dan kurangkan kontroversi sepanjang bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan bukannya bulan untuk kita menyeksa perut kita dengan pelbagai juadah, tetapi bulan mendidik hati kita untuk menjaga kesihatan dalaman dan luaran.

*andai ada yang silap, mohon diperbetulkan*

@hafizmd – Adab berbuka puasa cara dan style Rasulullah SAW. Nafsu buas manusia bukan mudah nak ditundukkan yop!

Rujukan asal: Buku Adab Ramadhan