3 cara Malaysia boleh menang lawan Vietnam…

Assalamua’laikum dan Selawat atas Junjungan Nabi Muhammad SAW.

Lambat pula kali ini proses kemaskini blog dengan entri terkini. Bukan sengaja menyepi diri, tapi agak sibuk menguruskan aktiviti luar yang memerlukan keutamaan. Berbanyak terima kasih kepada teman blogger dan semua yang sudi singgah di blog ini. Tanpa kamu semua, memang kosong dan sunyi sekali.

Dalam ramai yang mengutuk dan tak habis-habis merendahkan pasukan kebangsaan, rupanya masih ramai lagi yang menaruh kepercayaan kepada skuad muda Malaysia.

Logiknya, memang siapa tak marah, perlawanan pertama Piala AFF Suzuki kalah 5-1 dengan Indonesia. Mana tak angin satu badan, tapi kita harus faham yang itulah namanya bola sepak! Sedangkan Real Madrid pun boleh kena ‘lauk’ dengan Barcelona 5-0.

Jadi, apalah sangat nak kita hairankan? Inikan bola sepak. Apa-apapun boleh jadi. Sebab itulah, saya fikir dengan 3 cara ni, pasukan Malaysia boleh menang bila lawan Vietnam malam esok. Apa caranya?

1. Taktik bertahan – Taktik yang paling dibenci pihak lawan. Masa lawan Thailand, memang pemain Malaysia ramai yang berkubu di posisi pertahanan meninggalkan Shahrul Idlan Talaha di posisi menyerang. Memang boleh berjaya jika amal taktik ini tapi memerlukan daya tahan asakan yang tinggi dan keupayaan serang balas yang cepat dan berkesan! Kadang-kadang saya tak kisah main cantik atau tak, janji menang!

2. Serang balas – ‘Counter attack’ satu cara cukup berkesan untuk menghasilkan gol. Dengan syarat pemain Malaysia tak gopoh menghantar bola dan bijak mengambil peluang. Janji gol walau apa cara!

3. Kekal semangat – Dengan jumlah tiket 8,000 yang baru saja habis dijual dalam masa 2 jam hari ni (dan rasanya 3,000 semalam), pemain harus lebih bersemangat dan tak terlalu menghormati Vietnam yang kelihatan lebih mengatasi dalam semua aspek. Gunakan stadium keramat di tempat sendiri dengan lautan penyokong setia untuk menyerap segala asakan dan tekanan Vietnam! Kalau kalah, biar bermaruah!

Semua 3 perkara ni hanyalah kata-kata semangat dan bebelan saya saja. Memang tengah bersemangat ni dan memang nak sangat ke stadium tapi keadaan tidak mengizinkan.

Kepada pasukan Malaysia, bermainlah sebaik yang mungkin dan kurangkan kesilapan mudah. Kami doakan pasukan Malaysia mampu ke akhir dan menang Piala Suzuki AFF kali ini.

Malaysia Boleh!!!!

® hafizmd – isteripun nak ikut kalau nak pergi stadium….insyaAllah…