Trend Makan Awal Pagi

Assalamua’laikum.

Photobucket Trend makan awal pagi. Apa yang nak dikongsi ialah satu trend yang saya perhatikan semakin menjadi-jadi mengalahkan musang jadian. Ia makin kerap berlaku di kedai-kedai makan terutamanya kedai makan 24 jam seperti kedai mamak. Bukan mahu menyalahkan kedai mamak yang pekerjanya sentiasa ceria menyambut ketibaan kita, tetapi trend makan di awal pagi dilihat semakin melampaui batasnya. Kenapa? Apa kena mengenanya dengan saya? Dan apa kena mengenanya dengan korang? Saya ada butirannya.

Kejadian ini bukan sekali dua saya perhatikan, malah berkali-kali. Seolah-olah tiada langsung rasa bersalah. Korang biasa datang kedai mamak lepas jam 12 malam? Kalau biasa, siapa pelanggan tetapnya? Saya rasa majoritinya ialah anak muda belia remaja. Kalaupun ada yang lain, mungkin businessman sedang rancak berbual pasal urusniaga. Di awal pagi? Tak kisahlah.

Kalau anak muda belia remaja, itu semacam lumrah. Apa yang saya amat kesalkan ialah ada jugak kelibat mereka yang sudah berkeluarga. Takkan mereka yang berkeluarga tak boleh datang makan minum kot? Boleh, sudah tentu boleh. Masalahnya ialah terselit antara mereka ialah bayi, kanak-kanak dan remaja belasan tahun. Apakah kita sedar apa yang sedang kita lakukan? Mereka tidur kot? Tidak. Mereka turut sama makan dan minum pada jam 1.00 pagi. Udahnya makan jam 1.00 pagi, bila masanya pulak mereka tidur? ‘Bijak’nya kita menolong atur masa anak-anak.

Sudahnya, di mana tanggungjawab kita memberi yang terbaik untuk anak-anak? Apakah baik “mendidik” anak-anak berada di luar kawasan (walaupun keluarga ada bersama) seawal jam 1-2 pagi? Apa takde masa lain untuk kita bersama dengan anak isteri selain jam 1.00 pagi? Sibuk bebenor!

Saya rasa mesti ada yang beranggapan fikiran sebegini adalah konservatif. Mana tidaknya, kita dulu-dulu masuk saja waktu Maghrib, semua ahli keluarga mesti ada dalam rumah. Jangan harap nak keluar melainkan nak pergi kedai beli ubat nyamuk ataupun ke kelas tambahan. Semua ini sebenarnya nilai-nilai yang ibubapa kita tanam dalam diri kita sejak kecil tanpa kita sedari. Saya sendiri misalnya, memang bukan jenis yang suka lepak tak tentu pasal, apatah lagi berada di kedai makan jam 1 pagi.

Apakah kita gembira mewariskan anak-anak dengan tabiat ini trend makan awal pagi ini? Seterusnya melanggar fitrah kitaran dan hak kesihatan fizikal dan mental anak-anak kita? Saya cuba berbaik sangka. Mungkin si ayahnya ada urusan luar. Ok. Fahamlah mencari nafkah tu wajib. Cuma takkan sampai sanggup angkut semua sekali. Kita sorang cukuplah. Anak-anak dan isteri terutamanya perlukan rehat yang cukup. Betul tak?

Jadi, saya reka satu pepatah baru yang berbunyi, “Sayangkan hobi cendol-cendolkan, sayangkan isteri dodoi-dodoikan”. Maksudnya? Korang pulak reka maksudnya…hahahaha

@ hafizmd – Musim bola, habis kedai pasang layar besar-besar. Ramai anak muda “hilang” dari rumah. Apa saya buat kat kedai mamak jam 1 pagi? Nanti saya cerita =)