Tapai dan Nasi Dagang Mama

Assalamua’laikum. Tapai dan nasi dagang. Saya cukup sukakan dua makanan ni. Tapai pulut yang Ma buat setiap kali menjelang hari raya dan nasi dagang yang Ma buat hampir setiap kali kami balik kampung.

kampung cendering pantai peranginan
Teratak bonda. Jom balik kampung!

Saya mula belajar duduk di asrama sejak tingkatan 4. Isteri saya lagi hebat, Tingkatan 1 dah berkelana ke Johor. Berjauhan dengan keluarga bukanlah satu perkara yang menggembirakan hati sangat.

Bila dah duduk jauh ni, tiap kali balik kampung, Ma tak pernah hampakan selera kami. Bangun pagi, dah ada bau gulai ikan tongkol yang lemak mewangi. Bila ke dapur, Ma gigih campurkan santan ke dalam kukusan nasi dagang. Lemak berkrim lagi berkilat.

Dapatlah tengok dan belajar serba sikit kaedahnya, tapi sampai sekarang tak pandai-pandai juga buat nasi dagang. Ma macam biasa, senyum jer. Saya ni biasanya selalu menyibuk kat dapurlah. Untung-untung Ma suapkan sesuap nasi dagang ke mulut saya. Indahnya!

“Tak taulah sedap ke tak nasi ni,” ini ayat yang biasa Ma tuturkan.

“Mestilah sedap. Ma buat mesti sedap.” Itu jawapan saya semalam, hari ni, esok dan selama-lamanya. Sungguh nasi dagang air tangan Ma adalah nasi dagang tersedap dalam hidup saya.

Dulu-dulu, balik dari asrama pun, Ma masak sedap-sedap. Sekarang. Saya dah pun berkeluarga. Setiap kali balik kampung, nasi dagang tetap Ma usahakan. Ma dah tak sekuat dulu lagi. Kadang-kadang kaki kiri Ma bengkak. Lutut pun dah tak sekuat dulu untuk angkat periuk nasi yang terisi nasi dagang.

Ma bangun awal pagi. Tanak nasi dagang dan gulai ikan tongkol. Dalam pukul 5 pagi gitu. Buat awal supaya bila kami semua bangun, sarapan pagi dah siap untuk dinikmati bersama. Untunglah terbangun awal, dapat juga tolong mana yang boleh. Sembang-sembang pun tolong jugakkan? Petang sebelum tu, boleh luangkan masa kaitkan kelapa, kopek kelapa dan mesinkan siap-siap. Buat ramai-ramai, cepatlah siapnya. Best!

Sakit lutut dan kadang-kadang kebas tangan bukan penghalang untuk Ma siapkan nasi dagang. Ma tetap juga masakkan segantang dua nasi dagang walaupun kami siap pesan, Ma tak payahlah susahkan diri buat nasi dagang.

Sungguh, Ma takdenya nak dengar benda tu semua. Apa yang Ma tahu, nak siapkan makanan kegemaran kami adik-beradik. Ma cukup gembira lihat kami makan bersama dan tambah menambah sampai licin nasi dagang Ma. Bila diajak makan sekali, Ma cakap…Ma dah makan awal-awal tadi. Mungkin Ma dah kenyang tengok kami adik-beradik makan.

Selamat Lahir Lahir Ma

Semalam, 7 Mei 2014. Genap umur Ma 60 tahun. Pagi semalam sempat bersembang dengan Ma hampir 5 minit. Biasanya kami bercakap di telefon tak kurang setengah jam. Semalam, hampir 5 minit bersembang, suara Ma dihujung talian semakin serak-serak basah. Saya ulang ucapan keramat ‘Terima Kasih Ma…terima kasih” dan juga ucapan…

“Ma, Selamat Hari Lahir. Moga Ma panjang umur, sihat dan sentiasa dalam rahmat Allah dunia akhirat. Sayang Ma. Terima kasih Ma.”

Habis ayat. Suara Ma semakin basah. Saya tak lagi mampu teruskan perbualan. Walaupun Ma jauh, tapi suara, wajah dan hangatnya tangan seorang ibu tetap dapat saya rasakan sepanjang masa.

Apalah sangat ucapan saya itu berbanding jasa dan pengorbanan seorang ibu kepada saya? Hanya Allah saja yang mampu membalas segala kebaikan Ma!

“Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sabda Rasulullah SAW, redha Allah terletak kepada redha ibubapa.”

Anda masih punya ibu dan bapa? Ayah dan ibu jambatan ke syurga!

@hafizmd – MA. SELAMAT HARI LAHIR. SEMOGA SENTIASA DALAM NAUNGAN RAHMAT ALLAH DUNIA AKHIRAT. KAMI SAYANG MA.