Tak belajar kat sekolah ke?

Assalamua’laikum.

Moga semuanya sihat dan sentiasa dalam rahmat Allah jua…ameen

Hari ni, suka saya kongsikan satu pengalaman waktu mendengar khutbat Jumaat tadi.

Begini ceritanya. Setiap kali Jumaat, senario budak-budak bercakap waktu khatib membaca khutbah memang satu pemandangan biasa sekarang. Asal khatib baca khutbah, budak-budak dan geng mula pot pet pot pet. Tadi, ada dua orang budak (dalam linkungan umur 13-14 tahun). Dah tengok mereka asyik berpot pet pot pet, saya yang disebelah, mula kerling sikit. Ingat, budak-budak ni fahamlah. Memang tak makan saman betullah budak-budak ni. Makin Tok Khatib lantang baca khutbah, lagi rancak pula budak-budak ni pot pet pot pet. Tengok pada gaya, macam budak sekolah agama. Tengok lagi, macam dah baligh, tapi…

…agaknya dah bersunat, tapi minda masih lagi belum ‘disunati’.

Dalam kepala, terfikir pula, takkan budak-budak ni tak belajar kat sekolah? Takkan tak diajar oleh mak ayah? atau kurang ajaran? arghhh….hilang fokus pula.

Secara jujurnya, saya memang lemah bab-bab menegur budak-budak bercakap masa khutbah ni. Tak reti nak tegur secara berhikmah. Seingat saya, ramai pak-pak tua, tok-tok bilal yang bila menegur, suaranya lantang, tinggi dan kadang-kadang marah-marah budak-budak sebegini hingga ada yang terkeluar kata-kata seperti “eh, anak-anak kalau nak bising, jangan datang masjidlah…buat pening kepala pakcik jer….” erk…

Dalam saya separa khusyuk mendengar isi khutbah dan fikir cara yang terbaik untuk menegur, datanglah seorang lelaki bersama anaknya yang pakai baju bergambar kartun Car….duduk betul-betul depan saya. Si anaknya (rasanya sama umur dengan dua budak tadi…) diam berteleku disisi ayahnya.

Lelaki tadi mula kerling kebelakang, tepat ke arah dua budak yang rancak bersembang. Lelaki tadi mula kerling berulang kali, tapi budak-budak tu masih lagi buat bodo derk aja. Habis doa pertama dibacakan, lelaki tadi bingkas bangun dan terus menuju ke tempat duduk dua orang budak tadi dan duduk betul-betul dihadapan dan sedikit mengiring mengadap muka mereka.

Tu dia….terus diam seribu bahasa. Tunduk dan terus jadi budak baik. Dalam hati saya, terus terdetik Alhamdulillah, Allah dah tunjukkan satu cara untuk diamkan budak-budak yang suka bersembang waktu khutbah. Memang terdiam terus! Sebaik saja Iqomah berkumandang, lelaki tadi sempat berkhutbah pula pada 2 orang budak tadi. Katanya “adik, lain kali kalau nak cakap juga, tunggu habis Jumaat, boleh tak? Tak baik cakap masa khutbah, takkan tak belajar kat sekolah?”

Boleh tahan nasihat lelaki tadi, cumanya kenapa sekolah yang dikaitkan? Kenapa bukan mak ayahnya? Mungkin dah diajar, tapi tak masuk dalam telinga dan tak meresap dalam hati serta jiwa. Itu saja telahan yang mampu saya fikir.

® hafizmd – dalam kepanasan bermotosikal balik ke rumah, terus teringat masa kami adik-beradik bersalam dengan mak sebelum turun ke masjid. Tiap kali nak ke masjid, mak pesan “…duduk diam-diam, jangan bercakap masa khutbah…”. Kami memang tak berani nak bercakap, sebab kalau bercakap juga…balik nanti akan ada ‘upah istimewa’ untuk kami berempat. ‘Upah’nya sudah tentu dari Abah, tapi yang bestnya walau si abang sulung tak bercakap, dialah yang pertama terima ‘upah’nya!