Sanggup tak abang…

Ada yang kata, pengalaman itu guru terbaik. Maksudnya, kalau kita sendiri yang rasa, baru kita tahu bagaimana rasanya sesuatu itu. Setakat bercakap daripada pengalaman orang lain, tak menunjukkan kita seorang yang berpengalaman. Bercakap atas pengalaman sendiri, barulah kita akan lebih feel dan diyakini butiran pengalaman kita.

Menonton rancangan Bersamamu malam tadi bersama isteri tercinta, cukup membuai perasaan dan hati. Kelibat seorang wanita menyelongkar timbunan sampah demi meneruskan kelangsungan hidupnya benar-benar buat diri ini rasa bersyukur dan insaf. Lebih-lebih lagi bila tiba-tiba isteri bertanya “Abang, sanggup tak abang selongkar sampah sarap?…..”

Saya terdiam sejenak, kelu lidah. Lantas spontan menjawab “…entahlah sayang…mungkin kalau dah terdesak…”

Benarlah, kita yang tiada pengalaman, sukar untuk menjawab dan mungkin hanya bijak menutur itu dan ini.

Pengalaman hidup yang cetek tak semestinya menjadikan kita cetek akal dan pengalaman kerana saya pernah terbaca satu mutiara kata ini.

Manusia di muka bumi ini terdiri daripada tiga golongan.

Pertama: Mereka yang dikatakan bijak dan berpengalaman kerana belajar daripada pengalamannya sendiri.

Kedua: Mereka yang cerdik dan menikmati kegembiraan dalam hidupnya kerana golongan ini belajar daripada pengalaman orang lain.

Ketiga: Mereka yang hanyut dengan kebodohan sendiri kerana tidak mahu belajar daripada pengalaman sendiri mahupun pengalaman orang lain.

Sejujurnya, paling tidakpun cikai, saya mahu menjadi golongan yang kedua. Minta jauh daripada golongan ketiga.

Benar atau tidak kenyataan ini? Nak kongsi pengalaman atau ada nak komen?

® hafizmd – tiap kali tengok Bersamamu, rasa diri syukur sangat-sangat…