Ke mana generasi muda menghilang?

Kita semua adalah manusia yang sibuk.

Pergi kerja balik kerja, pergi kelas balik kelas, buka laptop tutup laptop, buka akaun Nuffnang, jumpa pelanggan, kena paksa sertai MLM, beli ebook itu ini, berbahas bajet 2010/2011, menulis blog, blogwalking dan segala bagai aktiviti yang tidak mungkin berhenti selagi kudrat gagah berdiri dan nyawa dikandungi.

Namun, sedarkah kita…dalam kesibukkan ini yang selalunya memenatkan minda dan fizikal…kita terlupa pada tanggungjawab sosial malah mungkin juga tanggungjawab sesama saudara seagama yang perlu dilaksanakan.

Dalam satu siri seminar yang saya hadiri, penceramah mengungkitkan satu persoalan yang sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam diri. Soalan beliau cukup ringkas.

Mana budak-budak muda pergi bila kita jemput mereka untuk turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan?

Andai soalan ini ditujukan kepada anda, agak-agaklahkan…apa jawapannya?

Sebelum itu, beliau menyebut situasi ini dengan lebih spesifik iaitu aktiviti yang melibatkan aktiviti kejiranan atau rukun tetangga. Katanya, cukup susah untuk melibatkan generasi muda/belia dalam aktiviti sebegini.

Saya yang mendengar, hanya mampu mengangguk dan sesekali terasa pedasnya bila teringat yang saya juga kurang melibatkan diri suatu ketika dulu.

Bila saya mula berada dalam kalangan mereka, saya akui…memang benar kata-kata beliau. Sungguh sukar sekali melibatkan generasi muda belia dalam aktiviti kejiranan sebegini. Kenapa agaknya? Saya lontarkan soalan-soalan ini untuk sama-sama kita menilai diri.

> Nak kata tiada di rumah, petang-petang ada saja kat padang main bola.

> Nak kata tak tahu, dahpun diberitahu seantero taman.

> Nak kata sibuk sangat, ada lagi manusia yang lagi sibuk dari mereka.

> Nak kata tak cukup masa, semua orang dapat 24 jam sehari.

> Nak kata malu, semuanya kelihatan cukup sifat dan tak malu bermotosikal ke sini sana.

> Nak kata tak sihat, semuanya nampak sihat bilamana semua yang diatas okay saja.

® hafizmd – apa pandangan teman semua? Ada cadangan dan pengalaman? Ayuh, kongsikan bersama…