Izinkan Tangan Aku Kotor…

Assalamua’laikum.

“Biarlah tangan kita kotor…” Itulah lebih kurang nasihat Cikgu Rohani, cikgu kelas masa kami darjah 2. Ingat lagi, setiap pagi sebelum masuk kelas, ada aktiviti kutip sampah. Setiap kelas diberi kawasan jajahan sementara masing-masing setiap minggu. Gilir-gilir bersih kawasan depan pintu pagar besar, padang, kawasan parkir kereka cikgu, koridor bilik guru, bilik guru. Semuanya patuh. Mana yang datang lambat, kena buat kerja berganda. Mana nak lawan, dengar jer cakap cikgu untuk kotorkan tangan masing-masing sebelum masuk kelas.

Disebalik Tangan Yang Kotor

Masa dulu-dulu, apa yang kami tahu, kutip sampah sebab nak bersihkan kawasan sekolah dan sebab cikgu-cikgu nak didik kami jadi pembersih. Ayat popular yang selalu didendangkan ialah “Kebersihan sebahagian daripada Iman.” Kami siap tulis cantik di dinding kelas. Cikgu siap tambah lagi pesanan penaja. Kata cikgu, “sampah jangan buang merata, sape cikgu nampak, cikgu denda 50 sen.” Banyak tu 50 sen! Habis duit saku kalau kena denda…wooohaa…

Itu cerita 22 tahun dulu tapi kesannya ada berbekas sampai sekarang. Alhamdulillah. Memang tak buang sampah merata-rata, sampah tak buang keluar dari kereta, dan insyaAllah akan cuba kutip sampah-sampah yang boleh dicapai tangan. Rupa-rupanya ada kesan hasil tarbiyah cikgu-cikgu kita dulu.

Dalam tazkirah pendek , Ustaz cakap lebih kurang macam ni.

Tiap kali kita kutip sampah, tangan kita akan kotor tapi ada sesuatu yang akan bersih selain tempat yang kita kutip sampah iaitu HATI kita.

Patutlah. Ustaz ada juga sebut yang iman ni ada lebih 70 cabang. Cabang paling power tak terkalah ialah perkataan “La ilaha illallah” dan cabang paling rendah ialah buang gangguan dari jalan. Memang kena dengan riwayat Abu Hurairah dari Nabi Muhammad SAW;

Sungguh, aku telah melihat seorang lelaki yang tengah menikmati kenikmatan di syurga disebabkan ia memotong duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.”

Inilah salah satu cara kita bersihkan hati kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa. Astaghfirullahal’azim.

Tangan kotor boleh basuh guna sabun antibakteria. Macam-macam jenama ada. Tapi kalau hati kita kotor, bagaimana? Allahukbar…

@hafizmd –  Entri untuk ingatan diri sendiri. Mana yang baik, pepandailah ambil pengajaran. Mana yang buruk, sila report pada saya kerana yang kurang tu memang kelemahan diri ni. Jadi, kena ada yang tunjuk kalau salah. Ok?