Bila Masa yang Sesuai untuk Anak Perempuan Belajar Pakai Tudung?

Assalamua’laikum. Bila masa yang sesuai untuk anak perempuan belajar pakai tudung? Bila dan bagaimana nak ajar/didik anak perempuan kita pakai tudung? Kongsikan pengalaman dan pendapat korang yer.

cara ajar anak perempuan bertudung yaya boboiboy

Kecoh juga dalam minggu ni tentang tudung Fareeda. Bukan cerita yang tu nak dikongsikan. Apa yang bakal saya tulis adalah berdasarkan pengalaman cetek saya selama bergelar seorang Abah. Mungkin ada yang salah dan tak sependapat dengan korang, mohon ditegur jika ada salah silapnya yer.

Pemilihan pakaian untuk seorang anak perempuan – pengalaman kami

Kami ada seorang anak perempuan. Sekarang Kakak usianya 6 tahun. Bijak dan petah berbicara. Alhamdulillah. Dalam soal pemakaian anak perempuan (mahupun anak lelaki kami yang kedua pun), kami memang begitu memilih dan teliti.

Sejak Kakak masih bayi lagi, jarang atau boleh kata, memang tak pakai gaun baby girl sejak baby. Skirt jauh sekali. Memang tak pernah. Mungkin ada yang fikir kami “kolot dan kejam,” tapi inilah jalan yang kami dan ramai lagi ibubapa diluar sana telah dan akan pilih untuk mendidik anak-anak. Betul tak?

Bagaimana kami pilih baju untuk anak perempuan?

  1. Kalau beli baju untuk dipakai diluar rumah, mesti beli baju yang lengan panjang. Wajib.

    beg muslimah untuk anak perempuan
    Beg sekolah pertama kakak.
  2. Kalau beli seluar (samada untuk dipakai di dalam rumah atau luar rumah), wajib panjang dan labuh melebihi paras buku lali.
  3. Saiz baju juga biasanya kami beli yang lebih besar 1 saiz. Wajib longgar dan tak ketat.
  4. Baju untuk Kakak memang takde jenis yang nampak ketiak (contoh: baju tidur atau baju untuk dipakai di rumah sekalipun).
  5. Baju takde tulisan pelik-pelik.
  6. Kalau baju bergambar, kami cuba juga usahakan beli baju yang menunjukkan perempuan bertudung.
  7. Beg juga beg yang ada gambar budak-budak bertudung.

Bila kami ajar Kakak pakai tudung?

Seingat kami, Kakak mula belajar meniru percakapan dan perbuatan orang disekelilingnya sekitar umur 2 tahun setengah. Apa yang kami buat, dia copy paste. Apa yang kami pakai terutamanya Mama punya, itulah yang Kakak nak buat.

Biasanya, bila kami nak terapkan sesuatu dalam diri anak-anak, kami selalu ulang perkara tu banyak kali. Sampailah menjadi, InsyaAllah.

  • Contohnya, kalau nak didik anak perempuan minat pakai tudung. “Kakak, kakak nak tengok Mama pakai tudung tak?”
  • “Kakak, kakak boleh tolong ambilkan tudung Mama tak?”
  • “Kakak nak cuba pakai tudung Mama tak?”
  • “Kakak, tudung ni kaler apa yer?”

Ini adalah antara cara kami pupuk minat dan kecenderungan Kakak untuk “kenal” dan “minat” pada tudung. Pakai tudung masa kecil ni, memanglah tak lekat kat kepala. Sekejap pakai, sekejap buang. Senget benget pakainya pun. Tapi yang penting (pada pendapat kami) ialah niat kami untuk didik anak perempuan kami supaya tahu dan akhirnya faham kefardhuan bertudung dalam Islam.

Alhamdulillah, lama kelamaan sehinggalah Kakak berusia 5 tahun, Kakak dah biasa pakai tudung bila keluar rumah. Malah ada sepupunya yang lebih hebat, seawal 2 tahun….tudung dah melekat atas kepala. Tabarakallah!

Bagaimana lagi caranya pupuk dan didik anak perempuan untuk bertudung?

  1. Paling penting, isteri/ibu kenalah turut bertudung. Takkan nak jadi ketam ajar anaknya jalan lurus? Sedangkan mak ketam sendiri jalan senget? Bapak ketam jalan pun senget benget?
  2. Hantar anak ke tadika/taska yang menitik beratkan subjek Pendidikan Islam. InsyaAllah, suasananya sangat-sangat membantu untuk anak minat bertudung.
  3. Ibubapa sentiasa bersedia dengan soalan anak-anak. Contohnya, “Abah Mama, kenapa kakak tu tak pakai tudung pun?”
  4. Boleh ceritakan secara ringkas dan logik kenapa perempuan wajib pakai tudung.
  5. Kawal cerita yang anak-anak tonton di televisyen. Paling penting untuk selalu guide anak-anak tentang siaran yang mereka tonton.

Ini antara serba sedikit perkongsian ringkas berdasarkan pengalaman cetek kami dalam membesarkan anak-anak kami. Perjalanan masih jauh untuk kami mendidik mereka menjadi manusia yang soleh solehah.

Dalam masa yang sama, kami kenalah perbaiki diri dan berusaha untuk jadi model terbaik yang mereka boleh tengok setiap hari. Bak kata bidala, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya.’ Wanau’zubillah bila baca entri tentang ‘Emak, orang kat Taiping ni beli buku….”

Kami tak kata cara kami betul dan tepat. Kami tak kata kami ibubapa mithali. Kami sungguh banyak kekurangan diri. Sungguh banyak! Cumanya, kami berusaha untuk memberi yang terbaik berdasarkan apa yang Allah sukai. Hanya satu doa kami dan pastinya doa-doa ibubapa lain juga iaitu ingin memberi yang terbaik untuk anak-anak.

@hafizmd – Abah dan Mama sentiasa doakan semoga Kakak dan Adik membesar menjadi anak soleh solehah. Ameen ameen ameen. Permudahkanlah amanahMU ini Ya Allah.

Published by Hafizmd

Artikel ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan juga melalui pembacaan. Sebarang kehilangan, kerosakan dan komen pembaca adalah tanggungjawab anda. Dapatkan bantuan pakar berkaitan jika memerlukan khidmat nasihat yang tepat. Jika entri ini bermanfaat, mohon 'Like, Tweet & G+' kepada rakan anda. Terima kasih dan selamat membaca.