‘9S’ Akhlak Nabi Muhammad SAW Yang Patut Kita Cakna!

akhlak nabi muhammad Bulan mengambang

Assalamua’laikum.

Kerinduan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW memang sewajarnya sentiasa kita pupuk dalam diri kita. Barulah senang untuk kita tunjukkan, didik anak-anak dan isteri kita. “Melentur buluh, biar dari rebungnya” memang tepat yang amat sangat. ‘Demam’ dan kehangatan Maulidur Rasul minggu lepas jangan sesekali kita biar ia hilang macam tu jer. Terutamanya kepada anak-anak kita. Usia bukannya satu halangan untuk didik anak-anak kenal siapa DIA Pencipta dan siapa pembawa rahmat sekalian alam!

akhlak nabi muhammad

Nabi Muhammad SAW Rahmat Sekalian Alam

Akhlak Nabi Muhammad. Al-Amin. Ini antara gelaran yang diberikan khas kepada Nabi Muhammad SAW. Amanah antara sikap terpuji yang ada dalam diri Rasulullah SAW sejak Baginda kecil lagi. Apa benda dan tutur Nabi SAW, semuanya amanah dan takde tipu-tipu. Semuanya ditunjukkan penuh amanah. Jom kita sama-sama hadami ‘9S’ lagi keperibadian Rasulullah SAW. Moga-moga, khasnya untuk diri saya sendiri akan lebih berusaha untuk mencontohi sunnah Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.

‘9S’ Akhlak Terbaik Rasulullah SAW

1. Salam – Ucapan “Assalamua’laikum” sentiasa Nabi SAW praktikkan setiap kali berjumpa para sahabat. Setiap kali pulang ke rumah. Nabi Muhammad SAW sentiasa jadi orang pertama yang beri ucapan Salam. Hinggakan, ada sahabat yang sembunyikan diri semata-mata nak jadi manusia pertama yang berjaya beri Salam kepada Nabi SAW, tapi tetap gagal. Nabi Muhammad kekal menjadi manusia yang sentiasa kepertama memberi ucapan “Assalamua’laikum.” Bagaimana kita? Ada hampir-hampir nak sama dengan akhlak Nabi Muhammad?

2. Senyum – Takde manusia yang sentiasa manis wajahnya dengan senyuman selain Nabi Muhammad SAW. Hinggakan ada satu peristiwa bilamana seorang Arab Badwi merentap selendang yang Nabi SAW pakai, hinggakan merah leher Baginda. Nabi SAW tetap rileks dan membalas dengan senyuman serta memberikan sesuatu kepada Arab Badwi tu. Kalau kita, agaknya macam mana responsnya?

3. Syukur – Nabi Muhammad SAW dijanjikan Allah SWT syurgaNYA. Tapi, Nabi Muhammad SAW tetap juga bangun solat malam hingga bengkak-bengkak kaki Baginda. Kenapa? Dalam Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Khuzaimah, Baginda SAW menjawab, “Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”

4. Senda gurau – Nabi SAW bukanlah seorang yang serius sepanjang masa. Nabi Muhammad SAW bukan setakat seorang Ketua Negara, tapi Nabi SAW juga seorang bapa, seorang menantu, seorang suami. Baginda SAW pernah main lumba lari dengan Siti A’isyah dan Baginda SAW pura-pura kalah untuk menceriakan hati isterinya. Kita? Takkan asyik serius 24 dengan anak isteri? Ce kita renung sejenak! Ada tak kita cuba tiru akhlak Nabi Muhammad SAW?

5. Sedekah – Perbanyak sedekah. Banyak benar keistimewaan bersedekah. Dari Amru bin Auf RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Sumber JAKIM)

6. Silaturrahim – Antara amalan untuk masuk syurga ialah mengeratkan hubungan silaturrahim. Maka, takde ruginya kita menjaga tangan dan lidah kita dalam hubungan silaturrahim. Jangan sebab tak sebulu idea politik, kita senang-senang jatuh hukum dan caci maki sesiapa saja. Ate, kata nak jaga silaturrahim!

7. Sabar – Tengok jer peristiwa masa Nabi Muhammad SAW kena baling batu dengan penduduk Thaif. Baginda sabor jer. Takde nak balas balik, sebaliknya Baginda berdoa untuk kebaikan mereka. Kita? Tepuk dahi, tanya diri kita sendiri. Jauh benar rasanya diri ni….huhuhu

8. Solat – Bab solat. Nabi Muhammad SAW dalam khutbah akhirnya juga menyebut tentang solat lima waktu. Sama-sama kita jaga dan perbaiki mutu solat wajib dan tambah dengan solat-solat sunat yang lain. Takde benda lebih penting berbanding solat kita. Allahuakbar!

9. Sayang – Nabi Muhammad SAW dalam menunjukkan kasih sayangnya kepada kita memang tak terhingga. Kepada anak-anak yatim juga begitu. Sabda Rasulullah SAW, “Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga begini, dan baginda menunjukkan dengan jari telunjuk dan jari tengah dan baginda merenggangkan antara kedua-dua jarinya.” (Riwayat Sahal bin Sa’ad RA)

Inilah antaranya ‘9S’ akhlak Nabi Muhammad SAW yang memang wajar sangat kita usahakan untuk beramal. Kalau bukan Nabi Muhammad SAW yang kita jadikan ikon utama, takde maknanya hidup kita.

Kita mengharapkan syafaat Nabi Muhammad SAW di Padang Mahsyar, tapi kita takde usaha untuk beramal dengan sunnahnya. Tak logikkan?

Makanya, saya menasihati diri sendiri terutamanya untuk meningkatkan usaha mengenali keperibadian Baginda Rasulullah SAW. Bacalah kitab dan buku-buku sirah Baginda SAW untuk kita lebih kenal siapa insan mulia rahmat sekalian alam. Dialah Muhammad SAW!

Nota: Ustaz pesan, jangan lupa baca Doa Mohon Syafaat Rasulullah SAW! Ustaz pesan lagi. Berarak itu penting, tapi PENGHAYATAN itu lebih penting.

@hafizmd –  Seronok tengok anak-anak terbawak-bawak pagi petang baca sholawat. Lebih-lebih lagi lepas berarak petang semalam. Moga berpanjangan. Ameen.