Lelaki Super Mesti Solat Jumaat!

Assalamua’laikum.

Lelaki Super Mesti Solat Jumaat! Hari Jumaat, penghulu segala hari. Banyak keistimewaan dan kelebihan yang Allah kurniakan pada hari Jumaat. Antaranya ialah kewajipan (fardhu ain) solat Jumaat kepada muslim lelaki. Jom kita ulangkaji beberapa perkara penting tentang solat Jumaat antaranya syarat wajib solat Jumaat, syarat sah Jumaat dan fardhu Jumaat serta perkara sunat yang seorang lelaki super patut lakukan setiap hari malam Jumaat.

1. 7 Syarat wajib solat Jumaat

  • Islam
  • Baligh (jangan nak ngelat yer)
  • Berakal
  • Merdeka (hamba tak wajib solat Jumaat)
  • Lelaki (perempuan dan khunsa tak wajib)
  • Sihat (orang sakit dimaafkan)
  • Bermastautin (tetap kediamannya)

2. 4 syarat sah Jumaat

  • Hendaklah didirikan dalam sebuah kampung/bandar
  • Cukup 40 orang termasuk Imam, mulai awal khutbah hingga selesai solat Jumaat – Pasti ada kelebihan buat 40 orang pertama. Betul tak?
  • Didirikan solat Jumaat dalam waktu Zohor.
  • Tidak berlaku 2 solat Jumaat dalam satu kawasan – Sedih sekali, kampung ambe sudah berpuluh tahun ada 2 Jumaat dalam satu kampung.

3. 10 perkara sunat yang patut dilakukan pada hari Jumaat

  • Mandi bagi kita yang nak tunaikan solat Jumaat.
  • Potong kuku, rambut jika panjang, cabut bulu ketiak, gunting misai dan cukur bulu ari-ari – Dah buat belum?
  • Pakai minyak wangi dan pakaian yang bersih –  “Butang baju abang mana Pah?” Tetiba ingat dialog ni.
  • Sunat untuk diam masa khatib baca khutbah – Kalau dah baligh pun masih bising, rendam dalam kolah masjid!
  • Makruh langkah tengkuk/bahu orang semata-mata nak ke saf depan – Nak jugak pergi? Pandai-pandailah minta laluan secara sopan.
  • Sunat baca surah al-Kahfi dan Yaasin pada siang dan malam Jumaat.
  • Banyakkan berdoa siang dan malam.

    “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Hadith Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah.

  • Sunat kita perbanyakkan amalan sedekah.
  • Perbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
  • Dirikan solat sunat Tahiyatul Masjid walaupun khatib sedang baca khutbah. Solat sunat Tahiyatul Masjid mendahului solat sunat sebelum solat Jumaat.

5. Apa nak buat jika lewat sampai untuk solat Jumaat?

  • Jika kita sempat satu rakaat bersama Imam, maka sah solat Jumaat kita – Maksudnya, kita hanya perlu tambah satu rakaat lagi.
  • Jika kita sampai, Imam sudah dalam tahiyat akhir, maka kita mestilah niat solat Jumaat tapi melaksanakan solat zohor 4 rakaat.

Maka, sama-sama kita rebut peluang yang Allah berikan untuk kita. Andai kita boleh datang awal ke ceramah politik, kenapa tidak datang awal juga ke masjid untuk solat Jumaat?

*Lepas solat Jumaat, pekena cendol dulu semangkuk…fuh!*

@hafizmd – Lelaki super mesti solat Jumaat & beramal dengan kelebihan hari Jumaat! Dah baca kisah pemuda yang tidur 309 tahun? Jom baca di entri ini –> Kisah Pemuda Ashabul Kahfi