Si bapa penyerang berani mati…

Semalam, usai saja makan tengahari, mata kami (aku dan isteri) tertumpu pada seorang bapa yang sedang rakus menghisap rokok. Apa yang kurang menyenangkan mata kami ialah si bapa rakus melunaskan hobinya itu di depan anaknya yang aku agak umurnya dalam linkungan 2 tahun dan juga si ibunya sekali.

Kami bukanlah nak menyibuk, itu anak dia dan isteri dia. Dia punya sukalahkan? Apa yang menjadikan kami terfikir ialah satu persoalan, adakah si bapa tahu yang dia sebenarnya persis si bapa penyerang berani mati terhadap anak dan isterinya sendiri?

Setakat yang aku tahu, perokok sememangnya sedia terdedah kepada segala bahaya kesan daripada merokok itu sendiri, tapi bagaimana pula orang-orang sekeliling yang turut menghidu asap rokok tu? Betul ke apa yang aku dengar selama ni yang sesiapa saja yang menghidu asap rokok juga turut terkena kesannya?

Untuk itu, aku buat sedikit pencarian dan pembacaan, mencari kebenaran bukannya setakat berfikir secara logik tanpa hujah berfakta. Ini apa yang aku dapat. Tiada niat untuk mencari salah perokok tapi sekadar memberi fakta dan cuba menarik kesedaran (kepada perokok, mungkin boleh berfikir supaya menjadi perokok yang lebih bijak ketika merokok).

  • Perokok pasif – kita yang terpaksa menyedut asap rokok
  • Asap rokok yang disedut oleh bukan perokok dikenali sebagai asap rokok pasif – Mengandungi asap aliran sisi dan asap aliran utama
  • Berapa banyak perokok pasif sedut asap rokok pasif? – Bergantung kepada saiz kawasan, pergerakan udara, jumlah perokok dan jumlah batang rokok yang dihisap oleh perokok
  • Apa bahaya asap rokok pasif?
  1. Tinggi risiko untuk barah paru-paru – 3,000 orang dewasa mati setiap tahun akibat asap rokok pasif!
  2. Kita yang tinggal dengan perokok aktif berisiko dua kali ganda untuk mendapat barah paru-paru
  3. Boleh sebabkan asma kepada kanak-kanak —–> ini yang aku fikir bila tengok si bapa yang rakus menghisap rokok semalam! Kanak-kanak bawah 18 bulan, 2 kali lebih mudah sakit jika ibubapa merokok!
  4. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok pasif lebih mudah terkena gangguan pernafasan, jangkitan telinga, selesema, penyakit jantung atau mati pada usia kurang setahun!

Senarai ini membuktikan, walaupun kita bukan seorang perokok, risiko untuk kita mendapat penyakit kesan daripada asap rokok pasif cukup menakutkan.

Jadi, kalau anda seorang perokok, jadilah perokok yang lebih bijak. Merokoklah di tempat yang sunyi, tertutup dan jauh dari insan-insan tersayang. Jauh dari ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak.

® hafizmd – maaf kalau ada yang kurang senang dengan entri kali ini, tapi bukankah kita berjanji saling nasihat-menasihati?

Sumber rujukan:

  1. Razak Hj. Lajis, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia
  2. Krisa Van Meurs, Stanford University School of Medicine