Pameran dan Kejayaan Universiti Penyelidikan

universiti pendidikan sidang media universiti malaya

Universiti Penyelidikan (Research University – RU) yang diiktiraf oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2006 untuk menjadi hab kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan mula menunjukkan prestasi yang membanggakan.

Saya berkesempatan menghadiri Pameran dan Kejayaan Universiti Penyelidikan yang telah diadakan di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya pada 24 Mac yang lalu. Berada dalam suasana ilmiah sememangnya begitu menyegarkan minda dan mengujakan. Lebih-lebih lagi, dapat bersama-sama mendengar sesi penerangan dan pameran hasil kejayaan dari 5 buah Universiti Penyelidikan. Cukup mengujakan!

Universiti tempatan yang saya maksudkan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Peranan Universiti Penyelidikan (RU)

Misi Univeristi Penyelidikan nyata cukup jelas. Ianya dijadikan sebagai enjin pertumbuhan negara dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada para sarjana dan pelajar untuk saling bertukar fikiran, melakukan kerjasama dalam bidang penyelidikan, meneroka idea-idea baru, menguji kaedah yang lebih inovatif dalam menjana kekayaan seterusnya diharap mampu menyumbang peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Saya berkesempatan menjengah sekitar tapak pameran yang mempamerkan deretan produk komersial hasil penyelidikan sarjana tempatan. Ianya bukan sekadar hebat di atas kertas, malah sudah mampu dikomersialkan untuk manfaat kita bersama.

ubat nyamuk tradisional universiti malaya
Ubat nyamuk Spokojan, produk Universiti Malaya antara yang menarik perhatian YB Dato’ Seri Idris Jusoh. Ini adalah contoh kejayaan UMCIC.

Kejayaan Penerbitan Buku dan Kertas Ilmiah

Dalam siri pertama ini, pencapaian penerbitan buku dan kertas ilmiah diberikan tumpuan utama. Saya difahamkan, siri-siri lain berkaitan penyelidikan akan diadakan secara bergilir-gilir oleh Universiti Penyelidikan yang terlibat. Pastinya lebih banyak idea kreatif dan inovasi terkini bakal dipaparkan dan diterjemahkan oleh para penyelidik Malaysia.

kejayaan penerbitan dan carian berindeks universiti penyelidikan

Apakah kepentingan penerbitan buku dan kertas ilmiah?

Di dalam bidang penyelidikan, penerbitan buku dan jurnal berindeks merupakan satu-satunya kaedah yang diterima pakai oleh komuniti penyelidik dunia di dalam melaporkan hasil kajian. Manuskrip laporan disemak secara kritis untuk menentukan tahap integriti dan kesahihan laporan seterusnya mengesahkan sebarang penemuan laporan tersebut. Bukan sekadar itu, saya juga yakin ianya menjadi salah satu ukuran utama menentukan kedudukan prestij sesebuah universiti dan juga kelayakan untuk pencalonan Hadiah Nobel.

Hebatnya seorang sarjana juga diukur sejauh mana penemuannya memberi manfaat besar kepada masyarakat dunia. Di sinilah pentingnya penerbitan buku dan kertas ilmiah yang diiktiraf.

Kejayaan penerbitan ilmiah ini pastinya membantu ahli akademik dan penyelidikan masa hadapan menghasilkan sesuatu yang lebih berinovasi dan memberi impak positif kepada peningkatan taraf hidup masyarakat. Inilah antara misi utama penubuhan Universiti Penyelidikan!

Kejayaan demi kejayaan menghasilkan penerbitan ilmiah yang berkualiti dan diikitiraf komuniti penyelidik dunia telah membuktikan ahli akademik dan penyelidik tempatan mampu ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan para penyelidik terbaik dunia.

Secara tidak langsung, pencapaian ini menaikkan nama Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang semakin disegani dan menjadi hub pilihan utama di dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

 Peranan Masyarakat Berilmu

Saya berpandangan penganjuran Pameran dan Kejayaan Universiti Penyelidikan ini sewajarnya mampu membuka mata banyak pihak terutamanya bakal pasca-siswazah dan masyarakat setempat betapa universiti awam tempatan yang diberikan penarafan Universiti Penyelidikan, kini boleh dikatakan setanding universiti terkemuka dunia. Masyarakat seharusnya lebih percaya dan memberi sokongan terhadap produk penyelidikan tempatan.

sidang media pameran kejayaan universiti penyelidikan UM
YB Dato’ Seri Idris Jusoh melawat tapak pameran.

Saya juga yakin, seiring dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), masyarakat secara amnya wajar mengambil inisiatif bijak untuk turut serta di dalam usaha mewujudkan masyarakat berilmu yang menjadikan budaya inovasi sebagai satu platform membangunkan sebuah negara maju.

Akhirnya, diyakini para sarjana dan ilmuan di universiti tempatan sudah bersedia melahirkan kembali lebih ramai pakar saintis terulung zaman silam seperti al-Kindi,  Ibn Khaldun, al-Khawarizmi dan sarjana lainnya. Bukan di luar negara, tetapi di universiti awam tempatan!

Anda juga boleh layari hebahan khas yang dibawakan oleh Unit Berita Universiti Malaya di laman ini, “Malaysia as a Developed Nation: The Role of Research Universities”