Hikayat Malim Kondeng yang tragik…

Diceritakan seorang insan…bernama Malim Kondeng. Bukanlah sepupu sepapat kepada Malim Kundang, jauh sekali si Merong mahawangsa.

Ditakdirkan, Malim Kondeng hanyalah seorang pekerja bawahan di sebuah kilang pemprosesan ayam. Kerja sehariannya tak lain tak bukan, memungah ayam yang sudah siap diproses ke dalam bilik sejuk beku. Hidup sehariannya penuh dengan cabaran dan dugaan…semuanya Malim Kondeng lalui dengan tabah.

Namun, hari yang Malim Kondeng sangka mendung sampai ke petang, rupa-rupanya banjir kilat di tengahari. Hari itu, Malim Kondeng terkurung dalam bilik sejuk beku. Entah sindrom apa yang menyerang, Malim Kondeng tertidur dalam kedinginan bilik sejuk. Penat menjerit, melolong, berguling jurus tangan berapi ….tiada manusia yang dengar.

Kedinginan terus mencucuk sampai ke tulang sumsum Malim Kondeng. Malim Kondeng mulai putus asa. Hanya kematian saja yang berpusing dalam hati dan benaknya. Dia benar-benar putus asa. Tiada lagi usaha Malim Kondeng untuk keluar dari bilik sejuk beku itu. Wajah isteri dan anak-anak mula terbayang. Malim Kondeng yang dalam kesejukan mula menulis satu surat….bukan surat cinta tapi surat wasiat!

Semuanya diluahkan di atas sekeping kertas termasuk kesejukan yang dirasainya. Keesokan harinya, rakan sekerja yang membuka bilik sejuk beku terkejut bila melihat sekujur tubuh kaku tidak bernyawa. Di tangannya tersisip sehelai kertas. Punca kematian ditulis sendiri oleh Malim Kundang iaitu mati kesejukan! Rakan sekerja Malim Kondeng hairan, bagaimana Malim Kondeng boleh mati sedangkan suis penghawa dingin sudah dimatikan sejak semalam!

Pengajaran: Janganlah cepat putus asa sebab ramai manusia yang ‘mati’ sebelum mati. Malah ada yang ‘mati berkali-kali’ sebelum mati yang hakiki. HIDUPLAH SELAGI HIDUP. BERUSAHALAH & BERJUANGLAH WALAU HANYA PUNYA SATU HARAPAN!

® hafizmd – mencari kekuatan untuk terus bermotivasi….