Kembara Palestine Jejak Khalifah Umar al-Khattab r.a

Assalamua’laikum.

Setelah kalah di kubu Ajnadin, tentera Rom kini tiada pilihan lain selain berkumpul dan berkubu di kubu terakhir mereka iaitu Baitulmuqaddis. Panglima tentera Islam, Amru al-As dengan pantas meminta bantuan seorang lagi panglima Islam, Abu Ubaidah al-Jarrah untuk datang segera membantunya mengepung Baitulmuqaddis. Pengepungan dalam waktu yang panjang akhirnya berjaya melemahkan semangat tentera Rom yang akhirnya meminta perdamaian. Perdamaian ini datangnya dengan satu syarat iaitu, ianya mesti ditandatangani sendiri oleh Khalifah Umar al-Khattab

Jejak Khalifah Umar al-Khattab | Baitulmuqaddis ditawan

Berita perdamaian yang diminta tentera Rom dan rakyat Baitulmuqaddis akhirnya diterima Khalifah Umar al-Khattab. Saidina Ali bin Abi Talib dilantik memangku jawatan khalifah. Tanpa berlengah, KhalifahUmar al-Khattab pun berangkatlah ke Baitulmuqaddis. Tiada ditemani angkatan perang, cukup ditemani seorang pembantunya sahaja. Naiklah mereka kenderaan paling tahan lasak ketika itu iaitu seekor unta. Berjanji untuk bergilir-gilir naik unta sehingga mereka sampai di Baitulmuqaddis.

Saat mereka tiba di Baitulmuqaddis, sudah ramai rakyat Baitulmuqaddis termasuk paderi mereka yang berkumpul untuk melihat sendiri batang tubuh Khalifah Umar. Saat dan ketika itu, yang berada di atas unta ialah pembantunya dan yang memegang tali kekang unta ialah Khalifah Umar al-Khattab. Mestilah pembantunya rasa tak sedap hati, lalu diminta untuk tukar tempat.

“Kita dah janji tadi untuk bergilir-gilir naik unta. Jadi sekarang, giliran kamu. Maka tetaplah kamu di atas unta,” tegas Khalifah Umar tanpa ragu.

Sudah pasti, yang di atas unta disangka Khalifah sedangkan sebaliknya. Sehingga ada yang tak percaya. Mana mungkin seorang Khalifah yang hebat hanya memegang tali kekang unta. Lagi tak percaya bila Khalifah Umar al-Khattab cuma memakai jubah lusuh yang bertampal-tampal sedangkan barisan panglima tentera Islam segak memakai baju cantik. Khalifah Umar yang melihat para pegawainya memakai pakaian indah lagi cantik, lantas Khalifah Umar mengambil anak-anak batu dan melontarkan ke arah para pegawainya. Dah kena baling anak batu, mestilah terkejutkan?

“Saya lihat, kalian seakan sudah berubah kerana terpengaruh dengan kemewahan. Saya pecat kamu kerana bermewah-mewahan dengan pakaian. Sesunggguhnya, mencapai kejayaan hanya dengan mengikut sunnah Rasulullah,” tegas Khalifah Umar.”

“Kami pakai pakaian ini untuk menahan tikaman musuh wahai Khalifah. Itu sebabnya, kami sentiasa memakainya,” jelas penglima Islam.

“Jika begitu, ia dibenarkan untuk membela diri,” jawab Khalifah Umar melegakan panglima-panglimanya.

Sejurus surat perjanjian ditandatangi, pintu Juruselam dibuka dan Khalifah Umar al-Khattab melangkah masuk lalu menziarahi makam Nabi Daud a.s.  serta solat dua rakaat. Diteruskan perjalanannya ke gereja besar. Saat itu, penganut Kristian sedang bersembahyang. Khalifah langsung tidak mengganggu mereka mengamalkan ajaran mereka sepertima yang termaktub di dalam perjanjian.

Waktu Maghrib menyusur tiba. Paderi Kristian mempelawa Khalifah Umar untuk bersolat di dalam gereja. Khalifah Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan paderi Kristian lalu keluar dan mendirikan solat Maghrib tidak jauh dari gereja. Di tempat Khalifah Umar al-Khattab mendirikan solat itulah, akhirnya didirikan sebuah masjid yang dinamakan sempena Khalifah Umar al-Khattab iaitu Masjid Umar al-Khattab di Baitulmuqaddis, Palestin.

kembara palestin denaihati.com masjid saidina umar alkhattab palestin juruselam
Masjid Umar al-Khattab, Palestin. Kredit gambar: instagram.com/denaihati

Inilah antara sedikit sebanyak jasa besar Khalifah Umar al-Khattab di dalam sejarah kegemilangan peluasan kuasa pemerintahan Islam. Masjid pastinya menjadi satu institusi paling besar dan berpengaruh di dalam kehidupan seorang muslim.

Moral Jejak Khalifah Umar al-Khattab

  • Khalifah Umar hanya bertemankan seorang pembantu saja ke luar negeri. Langsung tiada pembaziran!
  • Baju yang Khalifah pakai cukup menunjukkan teladan dan sifat tawadduknya. Mengikut sunnah Rasulullah SAW. Tidak bermewah-mewah dengan harta kekayaan.
  • Menghormati perjanjian yang ditandatangi.

Peluang mengembara menjejaki salasilah pengorbanan dan penjuangan para pejuang Islam pastinya mampu membangkitkan suatu aura semangat kasih sayang antara saudara sesama Islam. Inilah yang dilalui sendiri oleh rakan blogger Malaysia, Tuan Amir pemilik laman Denaihati.com. Beliau berkongsi antara pengalaman menarik beliau sepanjang Kembara Palestin di entri ini, “Masjid Al-Aqsa Bukan Dome of Rock.”

Teruskan ke entri tersebut untuk melihat sendiri gambar Dome of The Rock, Masjid Al Buraq, Masjid Nabi Sulaiman dan Masjid Al Aqsa. Boleh juga ikuti perkongsian gambar-gambar menarik beliau semasa kembara Palestine di laman Instagram beliau di sini –> Instagram Denaihati.

Terima kasih Tuan Amir sudi berkongsi Kembara Palestin!

@hafizmd – Membaca pastinya tidak sama perasaannya dengan berada di mana peristiwa itu berlaku. Allahuakbar!

Sumber: Novel Sejarah Islam Khalifah-Khalifah Yang Benar (Abdul Latip Talib)