Kisah Hakim dan iMeknya…

Perjalanan pulang Hakim ke rumahnya sedikit terganggu petang itu. Masakan tidak, hari ini sudah hampir 10 kali dia menahan seksa suatu jenis tekanan yang terpaksa dia bawa ke hulu dan ke hilir. Itu tidak lagi termasuk yang tidak sempat dikira, mungkin kerana medulla oblongatanya sudah sedikit terganggu dek tekanan yang luar biasa ini.

Hari ini, semuanya serba tidak menjadi buat dirinya yang memang terkenal sebagai jejaka idaman di seantero pejabatnya. Ke mana saja di pergi, pasti suatu tekanan yang sudah diluar kawalannya, akan berjaya membebaskan diri. Lantas menyebabkan serebrumnya teransang dan terus menghantar impuls ke ototnya yang pejal sebagai petanda supaya terus mengangkat kaki meninggalkan tempat kejadian.

Seharian Hakim kebingungan. Seksaan yang dialami Hakim saling tak tumpah ibarat “ku sangka cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Tekanan yang dirasai semakin hebat bilamana malam sudah mula mencemburui siang.

Hakim masih terbayang betapa seksanya dia menahan asakan tekanan itu selama hampir 1 jam. Suatu tekanan yang berusaha gigih ingin meloloskan diri tapi banyak kali juga berjaya dikawal dengan begitu baik walaupun ada juga yang terlepas. Banyak kali juga Hakim menjuihkan mulutnya yang tidak seseksi mana seolah-olah apa yang sedang ‘dinikmati’ orang sekeliling bukan salahnya.

Memang Hakim hebat dalam bab-bab mimik muka. Maklumlah, dia sempat juga menuntut ilmu teater sewaktu dia di pusat pengajian tinggi suatu ketika dahulu.

Setibanya Hakim dirumah bujangnya, dia pantas melunaskan hutangnya yang tertangguh hampir 1 jam lamanya. Seusai itu, iMac yang sudah siap tersedia di atas meja coklatnya kelihatan memanggil-manggil minta ditekan-tekan.

“Oh! Rindu betul aku pada engkau ni iMek”….getus Hakim yang memberi nama iMek kepada laptop kesayangannya itu.

Tanpa berlengah, jari-jemari Hakim pantas membuka enjin carian tersohor abad ini, apa lagi kalau bukan Firefox. Padahal, itu saja yang si Hakim tahu dan ada. Bak tukang taip profesional, Hakim begitu bersungguh menaip di ruang carian untuk mencari penjelasan terhadap apa yang telah dia alami hari ini.

“Eh….mana aku nak pilih ni? Banyak pula resultnya…”

Berpinar mata Hakim melihat begitu banyak laman web yang terpampang di iMeknya.

“Takkan aku nak tengok semua? Pengsan kalau macam ni….macam mana nak buat ni?”

Hakim termenung sejenak memikirkan cara terbaik untuk dia mencari maklumat dengan lebih tepat dan efisien. Dia termenung dan terus termenung sehingga dia tertidur di sisi laptop iMeknya yang tersayang.

® hafizmd – eh…kena berhenti dulu daaa…dah sampai masa tutup laptop ini…hehe…ada sambungan ke?