Soalan-Soalan Terakhir Utusan Maharaja Rom

Assalamua’laikum.

|Siri 1: Utusan Maharaja Rom & Siri 2: Dahri Utusan Maharaja Rom vs Imam Muda|Siri 3: Di Mana Letaknya Lemak?|

Preview Novel Sejarah IslamDalam keadaan yang masih terkedu, Dahri terus bertanya tentang Tuhan yang Esa.

“Wahai Abu Hanifah, kamu terangkan pada aku bagaimanakah zat Tuhanmu, adakah ia keras macam besi, cair macam air ataupun wap seperti udara?”

Imam Abu Hanifah tiada reaksi. Lantas bertanya kembali kepada Dahri, “Pernah atau tak kamu melihat orang sakti?”

“Selalu aku melihat mereka,” jawab Dahri.

“Baiklah. Semasa sihatnya, pesakit boleh bercakap dan bergerak seperti biasa tapi sebaliknya berlaku apabila pesakit meninggal dunia. Agaknya, kamu rasa mengapa begitu?” soal Imam Abu Hanifah terang.

“Mudah. Sudah tentu kerna roh atau nyawanya sudah tiada,” jawab Dahri tanpa berfikir panjang.

“Baiklah. Apakah kamu dapat lihat roh itu keluar dari badan si mati?” soal Imam Abu Hanifah lagi.

“Sudah tentu tidak wahai Abu Hanifah,” Dahri menjawab semakin kebingungan.

“Kamu tidak dapat lihat roh itu kerana ianya tidak bersifat padat, cair mahupun wap, bukan begitu?” tegas nada suara Imam Abu Hanifah.

“Aku tak pasti tentang itu,” perlahan dan lemah jawapan Dahri.

“Andai bentuk rohpun kita tidak dapat tahu, bagaimana kita mahu mengetahui zat Allah?” lanjut Imam Abu Hanifah.

Dahri masih belum putusa asa. Diajukan pula soalan, “Setiap sesuatu ada wajah dan tempat menghadap. Maka, ke arah manakah Allah sedang menghadapkan wajahnya?”

“Baiklah. Jika kamu nyalakan lampu dalam gelap, ke arah manakah cahaya lampu itu menghadap?” soal Imam Abu Hanifah kembali.

“Sudah tentu ke arah semua penjuru,” balas Dahri dalam keadaan yang semakin tidak keruan lantaran setiap soalannya memerangkap diri sendiri.

“Abu Hanifah, apakah benar di syurga tersedia pelbagai makanan dan minuman dan penghuninya tidak membuang air besar mahupun kecil. Bukankah ini khayalan semata?” soal Dahri angkuh.

“Itu bukan khayalan. Tidakkah kita berada dalam kandungan ibu kita selama 9 bulan tanpa membuang air kecil dan besar. Malah kita juga makan dan minum di dalam kandungan ibu kita?” jawab Imam Abu Hanifah.

Dahri mula menunjukkan riak wajah kurang senang dengan kebijaksaan Abu Hanifah. Dia mula berfikir dan akhirnya muncullah soalan terkahir yang diyakini pasti dapat mengunci mulut Imam Abu Hanifah.

“Ini soalan terakhir aku. Beritahu aku apa yang sedang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang,” sambil bercekak pinggang Dahri bertanya.

Imam Abu Hanifah seperti dapat menduga soalan terakhir ini sambil tersenyum berkata, “Baiklah, soalan ini sangat menarik. Ia akan tentukan kalah dan menang perdebatan ini. Untuk menjawabnya, saya perlu menjawab di tempat yang tinggi supaya dapat didengari oleh semua orang. Oleh itu, ayuh kita bertukar tempat. Kamu turun ke bawah dan saya naik ke atas mimbar.”

“Baik. Dengan senang hati aku turun ke bawah,” Dahri semakin yakin untuk mencapai kemenangan melalui soalan terakhirnya itu.

Di atas mimbar, dengan suara yang lantang berkatalah Imam Abu Hanifah, “Wahai sekalian manusia. Ketahuilah oleh setiap kamu, kerja Allah ialah menjatuhkan yang batil sepertimana menurunkan Dahri ini dari atas mimbar ke bawah sana. Allah juga menaikkan yang hak sepertimana menaikkan saya ke atas mimbar Masjid Jamek dari bawah sana.”

Serentak dengan jawapan Imam Abu Hanifah, bergemalah laungan takbir! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!

Dahri terpaksa mengaku kalah dan pulang dengan penuh kehinaan.

@ hafizmd – Olahan cerita ini hanyalah sebahagian daripada Novel Sejarah Islam: Kisah 4 Imam Mazhab.