Hakim tidak bersalah sepenuhnya, apatah lagi iMeknya…

Nota: Ini adalah entri ketiga untuk cerita pendek Hakim dan iMeknya. Untuk bacaan entri sebelumnya, silakanlah terus ke laman di bawah:

Episod 1: Kisah Hakim dan iMeknya

Episod 2: Kolaborasi Hakim dan iMeknya makin serasi

**********************************************************************

Hakim khusyuk meneruskan pembacaannya. Hari ini, Hakim nekad untuk tidak lagi memalukan dirinya sendiri. Dia mesti dapatkan segala jawapan kepada apa yang menyebabkan ususnya melepaskan bau-bauan yang sungguh menyeksa deria bau seorang manusia normal.

“Gas surih bertanggungjawab bagi bau gas dalam usus. Gas surih yang bakteria hasilkan biasanya hidrogen sulfida, methanethiol dan sulfida dimetil…ooo..rupanya ini semua kerja bakteria dalam perut aku…”. Bisik Hakim sendirian. Hakim meneruskan pembacaannya. Hatinya belum puas selagi dia masih belum temui punca utama.

“Kalau hidrogen sulfida, bau gas yang dilepaskan berbau seperti telur busuk; methanethiol berbau seperti sayur busuk manakala sulfida dimetil seperti berbau manis….”. Kini Hakim lebih yakin apa penyebab utama dia mengalami tekanan itu. Dia pasti bukannya bau manis!

Hakim masih terbayang keenakan nasi lemak Mak Limah Comel berlauk telur dan daging. Itulah menu kesukaannya hampir setiap pagi. Serta-merta Hakim teringat perihal telur double yang diambil pada pagi hari kejadian. Masih terngiang-ngiang kata-kata Mak Limah Comel, “En. Haha…nah…Makcik bagi free telur sebiji hari ni untuk kamu…kira bonuslah…kamukan pelanggan tetap Makcik…”.

Barulah Hakim mengerti yang hobinya melantak telur lebih daripada sebiji sehari boleh mengundang padah yang tidak diduga.

Masa yang tersisa, Hakim gunakan sebaik mungkin untuk terus memahami perihal gas dalam usus. Hakim terfikir pula, kenapa ada gas yang dilepaskan berbunyi kuat dan kadang-kadang tidak meninggalkan kesan langsung?

“Bila adanya gas disingkirkan, otot yang mengawal dubur akan bergetar. Kekuatan dan bunyi bergantung kepada jumlah gas dan tekanan penyingkiran gas…ok…maksudnya, lagi kuat tekanan yang ingin disingkirkan dan lagi banyak jumlahnya, maka lagi kuat bunyi yang akan dikeluarkan..”.

Hakim berinterpretasi seorang diri bak pakar fizik mengira Hukum Boyle dan dia cukup yakin, bunyi yang dikeluarkannya tidak akan mencecah 20decibel lalu mampu merosakkan sistem pendengaran manusia.

Hakim termenung mengingatkan mangsa-mangsa tak berdosa yang mungkin sedikit terseksa akibat tekanan gas dalam ususnya yang tidak lagi mampu dibendung pada hari kejadian. Masih jelas terbayang mimik muka, malah tidak kurang juga yang ringan tangan menggoyangkan jari sebagai tanda protes, tapi Hakim yakin, dia tidak bersalah sepenuhnya.

Adakah harus Hakim menahan gas dalam ususnya dari keluar? Hakim meneruskan pembacaan.

“Gas yang tidak dilepaskan akan berpindah ke belakang melalui saluran gastro usus dan jika ia terperangkap dalam salah satu lengkok perut, kita akan merasa sakit…rasa sakit akan hilang bila gas itu dilepaskan…”. Hakim tersenyum puas sebagai tanda dia tidaklah bersalah sepenuhnya atas penderitaan mangsa kerana waktu itu, memang benar dia sudah berjaya mengalihkan gasnya ke belakang tapi apakan daya, sudah sampai masanya, ia keluar juga.

“Maafkan aku semua mangsa…aku tidak sengaja…”. Luah Hakim dalam nada penuh kesal sambil menutup iMek yang sudah 3 tahun berkhidmat untuknya tanpa merasa sedikitpun tertekan walau terpaksa mendengar bunyi-bunyian pelbagai irama lebih dari 14 hingga 23 kali sehari.

® hafizmd – pernah dengar orang kata “kalau kita tak kentut, kita bukan manusia normal…” setuju?