Sila Jangan Sekadar Dengar Dengar Dengar Sahaja!

Assalamualaikum.

Boleh tahan panas juga isu “dengar dengar dengar” ni. Macam-macam respons yang timbul selepas video tersebut dimuatnaik ke YouTube. Kuasa viralnya begitu besar. Impaknya juga merebak ke bidang pemasaran seperti yang dilaporkan oleh blogger INI. Cukup menarik. Suara mahasiswa semakin lantang. Apakah ada telinga-telinga yang dipunyai oleh mereka yang memegang kuasa sudi mendengar “rintihan” mereka? Sila jangan sekadar dengar dengar dengar sahaja!

  1. Dari satu segi, kita janganlah hanya pandai meminta untuk didengari dan dipenuhi segala kemahuan. Sedangkan kita tidak berusaha untuk memberikan sesuatu.
  2. Andai kita mahu dihormati, hormatilah diri sendiri. Adab sopan perlu dijaga tak kira apa pegangan agama dan bangsa kita seperti kata Cikgu INI.
  3. Andai mahu suara kita didengari, ada masanya kita perlu mengajar diri kita untuk menjadi pendengar yang baik.
  4. Ada juga masanya, kita hanya perlu diam. Diam tak beerti kita kalah dan tak tahu. Contohi diam Nabi Muhammad SAW pada 4 perkara iaitu kerana adab sopan santun, berhati-hati, mempertimbangkan sesuatu antara manusia dan kerana bertafakur.
  5. Permohanan maaf mungkin mampu menyelesaikan masalah. Bahasa yang lembut lebih mudah melunakkan hati seperti bicara Cikgu INI. Cumanya, jangan kerana “nila setitik, rosak susu sebelanga”. Bukan semua mahasiswa sebegitu rupa.
  6. Alang-alang berbicara soal listen listen listen ni, ada baiknya ambe taburkan permata peribahasa Melayu kita tentang DENGAR.  Semoga kita sudi memberi ruang kepada mata hati kita untuk menjadi pendengar tulen!
  • Khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan.  (Tiap-tiap khabar yang diterima hendaklah diselidik dengan saksama supaya jangan tertipu)
  • Dengar cakap enggang, makan buah beluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk. (Maksud: Sesuatu pekerjaan itu hendaklah difikirkan sendiri masak-masak sebelum dikerjakan dan jangan sekali-kali mendengar cakap orang)
  • Dilambai tak nampak, diseru tak dengar. (Maksud: Tiada mahu mendengar nasihat orang)
  • Berkata siang melihat-lihat, berkata malam mendengar-dengar. (Maksud: Jika hendak membicarakan sesuatu, harus berhati-hati jangan sampai menyinggung perasaan orang)
  • Bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang. (Maksud: Memperkatakan sesuatu hal orang lain hendaklah berhati-hati)
  • Lantai dan dinding bertelinga belaka. (Maksud: Mempercakapkan sesuatu rahsia hendaklah beringat-ingat)

Diharap isu sebegini tidak memecahbelahkan mahasiswa khasnya yang sudah sedia terpecah. Kita jangan sekadar dengar-dengar sahaja. Banyak benda perkara yang boleh disumbangkan untuk pembangunan negara. Kalau sekadar membangkang semata, kita takkan ke mana!

@hafizmd – Sila Jangan Sekadar Dengar Dengar Dengar Sahaja! Berapa ramai antara kita yang sudi buat kerja sukarela?