Pesan Abah…

pesan abah pada anak-anak

Assalamua’laikum.

Jom audit diri sempena Ramadan. Aku ni dah puasa hampir 25 tahun. Sejak umur 5 tahun, memang dah pandai puasa. Lagi best, bila cikgu-cikgu puji aku kat sekolah. Siap jadi model lagi bab-bab puasa ni. Maklumlah anak ustaz. Takkan tak puasa. Malulah. Insiden ‘tertelan air’ ketika mandi, mungkin antara kenangan ‘terindah’ kebanyakkan kanak-kanak. Tapi Abah tak pernah tanya, “ada makan sorok-sorok tak?” ataupun “ada pergi minum air kat mana-mana tak?”

Puasa Ramadan: Abah dan Kami

Tiap kali sahur, memang kami tak pernah tak bangun. Mesti bangun punya. Biasalah, kadang-kadang Ma pun letih layan kami 7 beradik. Ada masanya hanya sempat makan kurma dan minum air masak seteguk dua. Sahur tetap kena bangun. Tak perlu tunggu suara Abah panggil kami, dengar tapak kaki pun dah cukup untuk buat kami terus duduk bersila mata terbuka kat dapur.

Setiap kali Ramadan, Abah tak pernah paksa kami solat terawih. Abah hanya ajak kami ke surau atau masjid. Ikut jer mana surau, mana masjid Abah pergi. Kami ikut. Di masjid, kami memang tak berani nak buat bising. Apatah lagi main-main kat belakang surau. Kalau tak, siaplah…memang ada “bonus harian” menanti. Adab dalam masjid memang cukup Abah jaga dan selalu ingatkan kami. Ma jugak selalu pesan, “Kat surau, jangan main lari-lari, duduk diam-diam.”

Ada juga masanya, kami solat terawih ramai-ramai kat rumah. Abah jadi imam, Ma dan kami semua jadi makmum. Masa tu, memang sah aku tak berapa paham kenapa nak kena puasa, dan malamnya nak kena solat Terawih. Tapi Abah selalu pesan yang satu ni, “Ingat, jaga solat. Jangan sengaja tangguhkan solat. Sakit macam mana pun, solat tetap solat.”

solat dan puasa pesan abah kepada anak

Sungguh, Abah memang tak pernah paksa kami solat terawih dan puasa. Tapi Abah memang paksa kami solat 5 waktu. Tak solat 5 waktu, macam-macam “hadiah” yang boleh Abah beri. Banyak kali juga kami kena. Bukan tak solat, tapi sebab lewat solat. Kami leka main kad. Leka main lastik. Leka main sampan. Leka pancing ikan. Leka main bola.

Abah cukup marah jika kami tak jaga solat 5 waktu. “Ini yang wajib,” kata Abah. Abah ada pesan lagi,

“Kalau jaga solat yang 5 ni, yang lain-lain Abah tak payah suruh dah. Anak-anak Abah mesti dah tahu apa yang nak kena buat. Anak-anak Abah mesti pandai fikir mana yang baik, mana yang buruk”

Sekarang, bila aku dah ada anak isteri. Aku lebih faham apa yang Abah sampaikan dan tunjukkan hampir selama 29 tahun Abah bersama kami.

@hafizmd – Terima kasih Abah! al-fatihah untuk Abah.