Suami Cemburu? Untunglah!

Assalamua’laikum. Amanah lelaki memang besar! Menjadi cermin yang jujur dalam keluarga. Seorang lelaki boleh jadi dia tu seorang suami, ayah, abang mahupun adik dalam sebuah keluarga. Saya tak nak cerita lebih besar dari itu, sebab semuanya bermula daripada sebuah keluarga.

Bacalah entri ini dengan nada yang lembut dan berlapang dada.

Maka, jika suami cemburu dengan anda seorang yang bernama isteri, maka bersyukurlah! Anda memang beruntung. Kenapa saya katakan beruntung sedangkan anda mungkin terkadang rasa dikongkong, rasa disekat kebebasan dan rasa rimas serta seribu macam lagi perasaan yang tak best? Untuk itulah, saya kongsikan kepada anda betapa seorang isteri yang mempunyai isteri yang cemburu, sebenarnya beruntung sangat-sangat.

Cemburu suami penyelamat rumahtangga?

Saya sendiri adalah seorang suami. Saya akui, saya juga ada sifat cemburu. Malah saya yakin benar, para suami di luar sana juga ada sifat yang sama. Kalau takde rasa cemburu, maka di situlah bermulanya akar masalah!

Cuma persoalannya ialah adakah sifat cemburu seorang suami ini KENA PADA TEMPATnya? Cemburu bertempatkah kita sebagai seorang suami? Lelaki/suami perlu ada sifat cemburu. Sebabnya hanyalah satu iaitu untuk mengelak kita para suami menjadi seorang LELAKI DAYUS dalam erti kata sebenar!

Kita jangan ingat, lelaki yang tolong isteri jemur baju, tolong pegang beg isteri, temankan isteri shopping dan mungkin banyak lagi perkara yang saya tak terfikir itu adalah LELAKI DAYUS. SILAP benar lagi salah jika ini yang kita percaya dan yakin selama ini. Ini semua bukan sifat atau ciri-ciri lelaki/suami dayus!

Suami tegur itu ini tandanya cemburu?

Suami yang tahu hukum hakam agama pastinya akan berusaha untuk membentuk keluarga yang bahagia dalam erti kata yang sebenar. Suami anda mungkin banyak kali tegur perkara-perkara berikut;

  1. Cara isteri bersolek terlampau tebal bila keluar rumah
  2. Cara isteri berkomunikasi dengan rakan sekerja lelaki (maksudnya mungkin suami periksa mesej/whatsapp)
  3. Cara isteri berpakaian ketika keluar bekerja mahupun keluar ke mana-mana saja
  4. Cara isteri bersosial di laman-laman sosial

Yakinlah bahawa suami anda cemburu itu tandanya mereka sayangkan anda. Mereka sedang melaksanakan amanah yang Allah berikan kepada seorang suami. Menjaga isteri dan ahli keluarga dari terjerumus terbuat dosa tanpa disedari.

suami cemburukan isteri
saya sayang awak….

Perkara yang suami wajib teliti dan tegur untuk elak menjadi dayus!

Bak pesan Ustaz Haryanto, kita para suami banyak kali terlepas benda yang mungkin kita suami atau pandang remeh/perkara kecil tetapi padahal ianya adalah perkara yang besar yang boleh menyebabkan lelaki/suami menjadi dayus.

Selain perkara di atas, ada lagi yang para suami seperti saya ni terlepas pandang. Antaranya ialah;

  1. Aurat isteri bila balik rumah mertua sebelah suami. Kenalah ambil tahu dan jaga seelok-eloknya. Ada bukan mahram dalam rumah tu. Sama-samalah jaga bahagian aurat masing-masing.
  2. Isteri naik motosikal nampak betisnya. Suami kena ambil tahu. Check dulu. Minta isteri pakai stoking kaki. Tolong belikan lagilah bagus.
  3. Aurat isteri di media sosial? Jangan suami pulak yang gatal tangan muat naik gambar isteri yang tak tutup aurat dengan sempurna. Ada tak kita muat naik gambar isteri yang pakai baju lengan pendek nampak lengannya? Cuba kita periksa kembali.
  4. Isteri bersolek terlampau meriah sehingga menarik perhatian lelaki lain. Percayalah bahawa banyak mata lelaki yang memandang. Sebabnya mudah. Lelaki Allah ciptakan sukakan benda-benda cantik. Wanita Allah ciptakan suka nak tunjuk diri cantik. TETAPI Allah juga telah tetapkan apa yang kita boleh tunjuk dan apa yang kita boleh tengok. Kepada siapa yang kita boleh solek setebal buku teks sekali pun. Betul atau tidak?
  5. Cara isteri bertudung. Ianya memang sensitif di pihak isteri. Sementalah mungkin isteri yang kita kahwini belum bertudung sejak dulu lagi. Percayalah, yakinlah. Isteri yang bertudung adalah isteri solehah yang didambakan seorang suami. Ajaklah isteri untuk bertudung dengan tudung yang tepat syariatnya. Slow and steady. InsyaAllah Allah pasti melembutkan hati isteri untuk menjadi isteri solehah.
  6. Pakaian isteri. Sama-samalah kita perhati apa jenis baju dan seluar yang isteri pakai untuk keluar rumah, waima nak sidai baju sekalipun. Kalau seluar ketat sampai nampak apa yang patut menjadi hak seorang suami saja tapi kini ditunjuk “percuma” kepada orang lain, apakah suami tiada rasa CEMBURU & RISAU?

Entri ini khas saya tujukan buat diri sendiri sebagai peringatan dan nasihat. Jika ianya berguna dan bermanfaat buat rakan-rakan suami mahu pun yang bergelar isteri di luar sana, Alhamdulillah.

Nak tegur menegur, nasihat menasihati ni memang mencabar jugalah jika kita ni manusia jenis susah nak terima teguran. Berlapang dada dan sanggup terima nasihat lebih-lebih lagi daripada pasangan kita.

Bak kata orang tua-tua, ‘tarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut tak putus.’ Slow and steady untuk berubah.

Paling penting pastinya, suami kenalah juga cermin diri dalam masa yang sama menjadi cermin untuk isteri dan keluarga.

Bacaan rujukan: Siapa Lelaki Dayus Menurut Islam?

Anda belum kahwin? Maka, jangan “seksa” Ayah anda yer. Jaga juga diri anda sebelum anda nanti akan dijaga oleh suami anda. Sama-sama kita saling nasihat-menasihati.

@hafizmd – Berusaha menjadi suami yang lebih baik! InsyaAllah