Cabaran Blogger | Satu Hari di Hari Raya

“Apih, tolong Nenek boleh tak?” Suara Nenek tak segagah biasa.

“Boleh Nek, Nenek nak apa?” Balas aku cepat, tak mahu Nenek tertunggu-tunggu.

“Kang petang nanti, Apih tolong ambil pucuk kemangi, Nenek nak makan buat buka puasa nanti…”

“Baik Nek, nanti Apih ambil banyak-banyak untuk Nenek ek, boleh Apih makan sekali, cicah belacan….” Beria benar aku kali ni. Aku tahu yang Nenek cukup cintakan ulam pucuk kemangi dan pegaga. Kalau sehari Nenek tak makan ulam, selera Nenek pasti kurang.

Petang yang sungguh damai bertemankan angin pantai yang menyusupi celah-celah rimbunan pohon jambu, aku terbongkok-bongkok memetik pucuk ulam kemangi. Seingat aku, hari itu sudah cukup hampir sangat dengan hari kemenangan bagi umat Islam yang berpuasa. Hanya bersisa sehari dua saja lagi.

Walau puasa aku tidaklah sehebat puasa Nenek, aku gembira dapat sediakan ulam kegemaran Nenek. Apatah lagi Abah pernah cakap yang ganjaran besar juga disediakan untuk mereka yang menyediakan juadah untuk mereka yang berpuasa.

“Wanginya kemangi ni..patutlah Nenek suka…nama pun kemangi…sesuai sangat…” Aku membebel sendirian sambil jari-jemari terus galak memetik pucuk ulam kemangi. Bau wangi pucuk ini memang cukup membangkitkan selera.

Azan Maghrib jelas berkumandang. Abah cakap, inilah salah satu saat paling gembira buat seorang Mukmin yang berpuasa. Ikan tongkol singgang, ikan kembong goreng, sambal belacan, budu dan ulam kemangi. Ringkas tapi cukup membangkitkan selera.

Aku yang duduk bersebelahan Nenek mula mengayun langkah menyambar hidangan mengalahkan Ibu, Nenek dan abang-abang yang berpuasa penuh sehari. Aku perasan, Nenek sempat tersenyum melihat keletah aku yang sedikit gelojoh.

Nenek, makannya tidak banyak tapi sekadar kenyang sahaja. Ekor mata aku sempat melirik pergerakan Nenek yang sudahpun selesai berbuka dan sedang berusaha bangun dari duduknya.

Sepantas kerdipan mata juga, Nenek rebah tidak bergerak. Ibu yang duduk bersebelah Nenek mengarahkan kami terus ke surau memanggil Abah. Sisa nasi masih di tangan, dan ulam kemangi masih belum dikunyah…aku berlari sekuat hati ke arah surau. Hanya satu yang aku tahu “Ya Allah, Engkau selamatkanlah Nenek…”

Langkahku tidak lagi selaju air mata yang mengalir. Malaikat Izrail sudahpun membuat lawatan terakhir ke atas Nenek. Nenek telahpun dipanggil mengadap Allah Rabbul Jalil Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Satu hari di hari raya, buat pertama kalinya, aku kehilangan seseorang. Kehilangan yang lebih dirasai tatkala melihat sepasang baju kurung berbunga-bunga milik Nenek siap sedia tergantung di gerobok Nenek.

Hingga kini, kenangan indah bersama Nenek terus mekar mewangi sewangi ulam kemangi yang bisa aku rasa hadir wanginya 😀

———————————-

Entri di atas adalah entri bagi menyahut Cabaran Blogger | Satu Hari di Hari Raya anjuran Blogger DLSL.

Apa kata kita pakat ramai-ramai sahut cabaran ni. Mesti lebih meriah dengan cerita masing-masing. Ini saja entri yang mampu aku tulis. Main tulis mana yang sempat jer…

Kalau rajin dan ada idea, mungkin aku terbitkan lagi entri lain untuk tajuk cabaran ni. Boleh tak Bro DLSL? hehe…

® hafizmd – al-fatihah untuk semua ahli keluarga kita yang telah kembali kepadaNYA & hargailah mereka yang masih ada di sisi kita.

sumber gambar: wikipedia