Kerana U dan A…

 Assalamua’laikum.

Kerana U dan A. Apa yang ‘U dan A’nya? Entri ni hanya entri santai-santai. Asyik entri berat, tak seronok juga. Masa tadika dulu, cikgu ajar huruf vokal A I E O U. Huruf lain kita panggil huruf konsanan. Huruf bergabung menjadi perkataan yang ada maknanya. Contohnya, A+K+U menjadi ‘aku’ bermaksud kata ganti diri pertama. Apa yang menariknya ialah, cuba kita main-main dengan huruf  ‘U’ &  ‘A’. Kita tukar kedudukan dan saling ganti huruf. Apa yang akan jadi? Tak faham? Meh pakat tengok. Ingat, ni entri santai-santai jer…

Contoh 1. Perkataan ‘malu’. Huruf A & U bertukar kedudukan.

Si gadis di Pantai Morib yang menjual air teh O strawberi berasa malu apabila ditegur oleh jejaka yang perasan kacak.

Tukar: Si gadis yang menjual air teh O strawberi berasa mual apabila ditegur oleh jejaka yang perasan kacak.

Contoh 2. Perkataan ‘mual’. Juga bertukar kedudukan.

Sejak akhir-akhir ini, asal sahaja waktu petang, Mama selalu berasa mual. Abah hanya senyum tak henti-henti.

Ganti: Sejak akhir-akhir ini, asal sahaja waktu petang, Mama selalu berasa malu. Abah hanya senyum tak henti-henti.

Contoh 3. Perkataan ‘saku’

Abah memang seorang yang pemurah. Tak pernah sekalipun Abah lupa wang saku untuk kami walaupun kami sudah beranak lima.

Tukar: Abah memang seorang yang pemurah. Tak pernah sekalipun Abah lupa wang saka untuk kami walaupun kami sudah beranak lima.

Contoh 4. Perkataan ‘puntung’.

“Sakit hati saya tengok orang buang puntung rokok merata-rata,” bebel si isteri setiap kali singgah di kedai cendol yang dirahsiakan tempatnya.

Tukar: “Sakit hati saya tengok orang buang pantang rokok merata-rata,” bebel si isteri setiap kali singgah di kedai cendol yang dirahsiakan tempatnya.

Ini sekadar 4 contoh. Banyak lagi perkataan yang boleh ditukar gantikan seperti “butang –> batang” dan sebagainya. Ingatlah, apa yang kita tulis mestilah ditulis dengan cermat. Biar sampai maksudnya. Menulis jangan sekadar ‘melepas kentut di dalam kereta’. Anda syok, orang lain merana!

@hafizmd – Kerana U dan A. Menulis mengajar kita menjadi seorang yang lebih teliti. Betul tak?