Si dia isteriku…

Entri lepas makan tengahari. Matapun rasa berat saja. Tanganpun macam berat nak menaip. Minda pula rasa ‘kebas’ nak berfikir. Bangun-bangun! Entri kena keluar hari ni juga. Makin lama dibiar, mood mungkin menurun. Lama-lama, makhluk malas mula menguasai diri…mulalah lepas tu, macam-macam alasan yang tak perlu kita fikirpun, akan laju keluar. Manusia oh manusia.

Ingat lagi entri Si Dia? Mesti ada yang dah tahu, aku ni bukan lagi si bujang trang tang tang, tapi dahpun ada seorang isteri. Bukan setakat itu, aku juga punya seorang anak perempuan. Kalau ada yang perasan, aku pernah sebut tentang si dia dalam blog ini.

Masa aku mula-mula berblogging, aku tak kenal ramai blogger yang dah berkeluarga, masa tu aku hanya kenal makcik surirumah kita yang glamer tu….siapa? Kak Jielah….siapa lagikan? 😀 Masa tu, aku belum lagi kenal blogger yang sudah berkeluarga. Tahun 2010 barulah aku mula kenal Bro Jaz, Bro Anwar Osman, Bro Akubiomed, Puan Intan Suri, dan juga Puan Suri. Ini semua yang dah tak bujang lagi tapi mungkin masih available kot?

Sekarang? Boleh kata, komuniti yang aku selalu pusing-pusing makin cukup luas. Ramai lelaki bujang dan sedikit saja perempuan.

Siapa sebenarnya si dia dalam hidup aku? Kalau nak tahu, dia sekarang sedang berbadan dua (Kak Jie panggil mak buyung….hohoho). Tunggu masa saja nak bersalin anak kedua kami.

Bagi seorang suami, hanya kata-kata semangat dan dorongan saja yang mampu diberi. Sungguh berat mata aku memandang, hanya si dia yang lebih faham. Tempoh 9 bulan lebih, tak pernah sekalipun aku tengok si dia mengeluh merungut. Lenguh badan, kadang-kadang kejang kaki tengah-tengah malam (lagi boleh buat sendiri, tak nak ganggu suami tidur…), kaki bengkak-bengkak, tangan kebas-kebas, perut sakit (angin dan sebab gerakan bayi yang mengeras)……mustahil ini semua ditanggung oleh manusia yang bernama lelaki!

Oleh sebab itu juga, untuk kelahiran anak kedua ni, aku bertekad untuk sama-sama masuk ke bilik bersalin (anak yang pertama tak dibenarkan ikut masuk sekali…). Aku nekad untuk berada di sisi si dia mengharungi sakit yang si dia harungi keseorangan 2 tahun yang lalu. Kali ini, aku ingin sekali menggengam erat tangan si dia sewaktu si dia mengerah segala kudrat demi anak tercinta. Biarlah aku melihat dengan mata kepala sendiri, betapa besarnya pengorbanan seorang isteri melahirkan anak kami.

Siapa si dia dalam hidup aku? Nak tahu? Sila klik SINI.

® hafizmd – baru balik scan tadi, alhamdulillah, mak bayi dan bayi sihat….alhamdulillah