Buruk muka cermin dibelah…

Assalamua’laikum.

Selawat atas Junjungan Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, bersyukur dapat sedut oksigen lagi hari ni. Dah baca suratkhabar hari ni? Ada berita menarik? Banyak sungguh berita yang menarik lebih-lebih lagi di akhbar Harian Metro. Namun, yang paling mendapat perhatian saya hari ini ialah insiden tumpahan beras di Lebuh Raya Utara-Selatan. Kalau dulu, ada insiden tumpahan wang syiling…kali ini beras pula! Dulu ramai-ramai kutip syiling, semalam pakat kutip beras pulak dah!

Terus saya teringat satu peribahasa indah…rezeki secupak, manakan jadi segantang. Eh, ini bukan setakat segantang abang adik kakak! Beratus-ratus kilo beras dah ni. Itulah orang kita. Berusaha sungguh-sungguh, gadai nyawa sekalipun untuk tambah bekalan beras di rumah tapi dengan cara ‘mencuri’ beras orang lain. Buruk perangai betulkan?

Kalau yang kutip tu orang Islam, ingatlah amaran Nabi Muhammad ini;

Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram ( Riwayat Al-Bukhari)

Agaknyalah, ramai yang fikir begini “kalau aku tak kutip, nanti orang lain kutip…tak boleh jadi ni…”. Memang fikir nak cepat dan mudah saja. Nampak peluang depan mata, tak fikir panjang dah…rembat saja. Sesuai benar dengan bidalan bagai jawi makan, dimamah dulu baru ditelan. 

Seolah-olah, inilah cerminan sebenar sebahagian (mungkin lebih ramai lagi) perangai dan sikap orang kita. Suka ambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Cukup menyedihkan. Walau nampak kecil dan remeh, tapi impaknya cukup besar. Ke mana hilangnya etika bermasyarakat dalam diri kita? 

Benarlah, rohani kita makin dahaga dan kelaparan. Ini hanyalah sebahagian cerita yang menggambarkan kerakusan manusia terhadap kebendaan. Sebab itulah agaknya, ramai antara kita yang sangat mudah terjebak dalam apa jua jenis kerosakan seperti rasuah, skim cepat kaya dan sebagainya.

Kita tersangkut dalam kemalasan untuk mencari dan menyelidiki sesuatu. Main ikut saja. Akhirnya buruk muka cermin dibelah.

Glosari;

  1. Rezeki secupak manakan jadi segantang – Jika tiada usaha, benda yang sedikit tidak akan jadi banyak.
  2. Bagai jawi makan, dimamah dulu baru ditelan – Tiap-tiap perbuatan itu dirundingkan masak-masak sebelum dikerjakan.
  3. Buruk muka cermin dibelah – Diri sendiri yang kurang pandai, orang lain yang disalahkan.

® hafizmd – moga kita semua dalam rahmat Allah jua…ameen

Nota: Bacaan tambahan – Ulasan Ustaz Zaharuddin berkaitan isu berkaitan. Boleh di baca DI SINI.