Video Ustaz Idrus dan isinya…

Video di atas disampaikan oleh Ustaz Idrus.

Mungkin ada yang akan keliru dan tak faham sepatahpun apa yang Ustaz Idris cakapkan. Almaklumlah, Ustaz berceramah dalam dialek Terenngganu yang agak pekat.

Dalam penyampaian beliau yang penuh bersahaja itu (walaupun diselang-seli dengan unsur jenaka), sempat saya kutip dan kongsikan beberapa isi penting. Antaranya ialah;

1. Peranan bapa/lelaki dalam institusi keluarga

Seorang suami pastinya punya tanggungjawab ke atas isteri dan anak-anaknya. Seorang lelaki juga punya tanggungjawab atas ibunya dan juga adik perempuannya.

Dalam video ini, contoh yang Ustaz berikan ialah perihal mendidik anak-anak. Contohnya bab takbir. Kalau si ayah bertakbir persis ultraman taro, macam mana agaknya kita sebagai bapa/abang ingin tunjukkan/ajar pada anak-anak/adik-adik?

Mudahnya, kalau kita bapa/abang yang suka sangat pakai seluar pendek ke hulu ke hilir, takkan nak harapkan anak/adik kita pakai tudung litup?

2. Berhikmah dalam mendidik anak-anak

Contoh yang Ustaz berikan ialah bila kita cuba menegur anak waktu ambil wudu’. Teguran yang dibuat biarlah satu persatu. Jangan main tibai semua sekali. Nanti anak mungkin terkejut dan memberontak. InsyaAllah, katanya…sikit-sikit akan lekatlah perkara yang cuba kita ajarkan tu.

Ironinya, saya percaya…andai kita mahu anak-anak kita bercakap dengan tutur kata yang baik dan sopan, kita perlu tunjukkan contoh tauladan yang baik setiap hari, tapi kalau mulut kita tiap-tiap hari lancar saja memaki hamun (dan mungkin juga seorang blogger yang punya sifat tak senonoh)…dirisaukan anak akan ambil sebagai ikutan.

3. Menjauhi sifat was-was

Ustaz berikan contoh terbaik yakni dalam amalan solat seharian kita. Memang, saya pernah bersolat sekali dengan orang-orang sebegini. Ada sekali tu, Imam dah naik rakaat kedua, tapi si dia ni masih lagi ‘bergelut’ dengan takbir dan niatnya. Dah habis rakaat kedua, barulah si dia berjaya. Eh…macam mana saya boleh perasan pula? Terbukti khusyuk saya sudah terganggu…betul tak?

Maka, kita harus yakin yang sifat was-was itu adalah bisikan syaitan yang memang sengaja menimbulkan perasaan tak yakin dalam hati kita. InsyaAllah, amalan membaca surah an-Nas sebelum solat mungkin boleh menghalang terbitnya perasaan ini.

Ini antara intipati yang mampu saya kongsikan buat sahabat semua. Lebih utama adalah untuk peringatan diri sendiri. Moga ada kebaikan dari entri ini. InsyaAllah. Kalau ada yang tersalah, harap dimaklumkan yer dan dimaafkan 😀

Subhanallah…Subhanallah…Subhanallah

® hafizmd – masih lagi terkejut dengan salah satu komen yang dibaca di blog Kak Jie pasal camel toe tuh…