Oh! tidak, hak mataku dicerobohi…

Assalamua’laikum.

Manusia dan peraturan. Memang tak boleh dipisahkan. Bagai aur dengan tebing.

Macam-macam peraturan yang ada. Dari sekecil-kecil aturan hinggalah sebesar-besar aturan. Ada yang bertanya “pasai apa nak kena ada peraturan?”. Ada yang pantas menjawab “untuk dilanggarlah…”

Payah kalau ramai manusia yang begini. Ramai yang tak sabar dengan aturan yang ada. Contoh mudah ialah aturan lampu isyarat. Siapa yang tak pernah langgar lampu isyarat? Berlambak. Tiap-tiap hari aku tengok, kadang-kadang tak perlu tengok jauh, tengok diri sendiri sudah cukup.

Baru-baru in, aku rasa pelik bila pihak berkuasa terpaksa buat usul untuk mewartakan tarikh perbaharui lesen sama dengan tarikh lahir pemegang lesennya. Sampai macam tu sekali kementerian terpaksa berfikir untuk mengelakkan pemegang lesen memandu lupa untuk perbaharui lesen (agaknya kementerian terlibat dah naik bosan dengan alasan “En.Polis hensem, maaf, saya lupa nak renew lesen…” Hadoi….aku rasa teruk benar dah ni perangai orang kita. Sampai lesen sendiripun nak ada orang lain ingatkan.

Sama juga dengan kadar denda terbaru yang Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kenakan atas umat Islam yang culas puasa. Denda Rm3,000@puasa+raya dalam penjara 2 tahun@dua-dua sekali. Aturan Allahpun kita masih berkompromi sebegini. Kalau tak puasa, janganlah eksen makan di tempat terbuka, diam-diam sudahlah. Jangan kita sengaja nak tunjukkan yang kita ni memang sedia punya iman lebih nipis dari kulit bawang. Sedih!

Aku terfikir pulak, kalau peniaga yang didapati sengaja jual makanan kepada mereka yang tak puasapun dikenakan tindakan undang-undang, apakah cara yang sama boleh dibuat kepada;

  1. Mereka yang sengaja jual baju-baju nipis, tak cukup inci, ketat dan seangkatan.
  2. Denda mereka yang sengaja pakai baju/seluar yang menampakkan lurah dendam

Meneliti huraian Ustaz Zaharuddin dalam soal jual beli tudung, beliau simpulkan begini;

Sekiranya kita bersangka agak kuat bahawa pembei tidak akan menggunakannya untuk menutup auratnya dengan baik, maka jualan itu menjadi makruh

Itu tudung. Andai pakaian yang dijual itu memang nyata mendedahkan aurat contohnya legging, baju singkat, kebaya ketat, baju muslimah yang seksi, tudung artis itu dan ini yang memang jelas berpaksikan fesyen semata-mata. Untuk ini, bagaimana pula hukumnya?

Itu sekadar contoh. Aku pasti, ramai manusia yang seagama dan sebangsa yang bangkang dengan alasan ianya melanggar hak asasi manusia, hak individu dan hak-hak lain….huuuuuuh!

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;

Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kta), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah menwajibkan bagi beberapa kewajiban dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya.” ( Riwayat Al-Hakim, 4/129)

Rasanya jelas dan terang. Apa pendapat anda semua?

® hafizmd – dia yang pakai tak senonoh tu tak sedar yang dia juga sedang melanggar hak asasi mata dan iman kita!